Thursday 30 September 2010

Mutiara 30 : Menyuruh Keluarga Mentaati Allah

(Bab 38 : Menyuruh Keluarga Mentaati Allah, Hadits RS298-RS302)


Allah Taala berfirman:

“Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya.” (Thaahaa, 20:132)

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (At-Tahrim, 66:6)


Imam Nawawi mengulangi hadits “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab ke atas yang dipimpin” (M89/RS283/RS300) yang terdapat dalam bab yang terdahulu di dalam bab ini. Seorang suami, bapa, datuk, ibu dan sebagainya tidak hanya bertanggungjawab dalam keperluan kebendaan sahaja ke atas orang-orang yang dipimpin mereka. Mereka juga bertanggungjawab dalam urusan ibadah.

Rasulullah s.a.w. menunjukkan tauladan dalam baginda mendidik cucu (RS298) dan anak tiri baginda (RS299). Baginda mengeluarkan kurma yang disedekahkan dari mulut cucunya, Hasan, dan mengajar anak tirinya adab makan. Rasulullah juga mengajarkan:

M94. Dari Amr bin Syuaib dari bapanya dari datuknya r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Perintahlah anak-anak kamu bersolat sewaktu mereka berusia tujuh tahun. Pukullah mereka kalau mereka mencuaikannya sewaktu berusia sepuluh tahun. Juga pisahkanlah tempat tidur mereka.” (RS301; Abu Daud)

Wednesday 29 September 2010

Mutiara 29 : Nafkah Keluarga

(Bab 36 : Nafkah Keluarga, Hadits RS289-RS296)


Allah Taala berfirman:

“Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf.” (Al-Baqarah, 2:233)

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan (sekadar) apa yang Allah berikan kepadanya.” (Ath-Thalaaq, 65:7)

“Dan barang apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya.” (Saba’, 34:39)


M91. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Satu dinar kamu dermakan fisabilillah, satu dinar kamu gunakan untuk memerdekakan hamba, satu dinar kamu sedekahkan kepada orang miskin dan satu dinar kamu nafkahkan untuk keluargamu, yang paling besar pahalanya ialah yang kamu nafkahkan untuk keluargamu.” (RS289; Muslim)

M92. Dari Abdullah bin Amru bin Al-Ash r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Cukuplah seseorang itu berdosa kalau ia mengabaikan tanggungannya.” (RS294; Abu Daud)

M93. Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., baginda bersabda:

“Tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah. Dan mulakan dengan sesiapa yang ditanggungmu.” (RS296; Bukhari)

Saturday 25 September 2010

Mutiara 28 : Hak Suami

(Bab 35 : Hak Suami, Hadits RS281-RS288)


Allah Taala berfirman:

“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang soleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka).” (An-Nisaa’, 4:34)


M87. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Jika suami mengajak isterinya untuk tidur bersama tetapi tidak dipenuhi sehingga menyebabkan kemarahan suami, malaikat melaknatnya sehingga ke pagi.” (RS281; Bukhari, Muslim)

M88. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tidak dihalalkan seorang isteri berpuasa semasa suaminya ada kecuali dengan keizinannya. Isteri juga tidak boleh membenarkan orang memasuki rumah tanpa keizinan suami.” (RS282; Bukhari, Muslim)

M89. Dari Ibnu Umar r.a. dari Nabi s.a.w., baginda bersabda:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab ke atas yang dipimpin. Amir (penguasa) pemimpin, suami pemimpin keluarganya dan isteri pemimpin rumahtangga suami dan anak-anaknya. Maka setiap kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab ke atas yang dipimpin.” (RS283; Bukhari, Muslim)

M90. Dari Usamah bin Ziad r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:

“Tidak aku tinggalkan sesudahku fitnah (ujian) yang lebih berbahaya bagi lelaki dari fitnah perempuan.” (RS288; Bukhari, Muslim)

Tuesday 21 September 2010

Mutiara 27 : Pesanan Berkenaan Perempuan

(Bab 34 : Pesanan Berkenaan Perempuan, Hadits RS273-RS280)


Allah Taala berfirman:

“Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri) dengan cara yang baik.” (An-Nisaa’, 4:19)

“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awangan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu) dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (An-Nisaa’, 4:129)


Islam mengatur segenap aspek kehidupan seseorang mukmin. Antaranya ialah di dalam pergaulannya dengan isteri.

M82. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Berpesanlah kepada wanita dengan baik. Sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk dan tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang teratas. Jika kamu memaksa untuk meluruskannya, pasti ia patah. Jika kamu biarkan, ia tetap bengkok. Dengan itu berpesanlah kepada mereka dengan baik.” (RS273; Bukhari, Muslim)

M83. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Janganlah mukmin lelaki (suami) membenci mukmin wanita (isteri). Jika ia tidak suka suatu sifat, pasti ada sifat lain yang disukainya.” (RS275; Muslim)

M84. Dari Muawiyah bin Haidah r.a., katanya: Saya bertanya: “Ya Rasulullah, apakah hak isteri ke atas suaminya?” Baginda menjawab:

“Hendaklah kamu memberi makan jika kamu makan, memberi pakaian jika kamu berpakaian, jangan memukul mukanya, jangan mengaibkan dan jangan memboikot kecuali dalam rumah.” (RS277; Abu Daud)

M85. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Mukmin yang paling sempurna iman ialah yang paling baik akhlak mereka. Sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya.” (RS278; Tarmizi)

M86. Dari Abdullah bin Amru bin Al-Ash r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Dunia adalah kesenangan (sementara) dan sebaik-baik kesenangan dunia ialah wanita (isteri) yang solehah.” (RS280; Muslim)

Sunday 19 September 2010

Mutiara 26 : Membantu Orang Miskin dan Lemah

(Bab 33 : Membantu Orang Miskin dan Lemah, Hadits RS260-RS272)


Allah Taala berfirman:

“Dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman.” (Al-Hijr, 15:88)

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia.” (Al-Kahfi, 18:28)

“Adapun terhadap anak yatim maka janganlah kamu berlaku sewenang-wenang. Dan terhadap orang yang minta-minta maka janganlah kamu mengherdiknya.” (Adh-Dhuhaa, 93:9-10)

“Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang mengherdik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin.” (Al-Maa’uun, 107:1-3)


Rasulullah s.a.w. menggalakkan kita membantu orang-orang yang memerlukan bantuan. Dalam hadits-hadits berikut baginda memaklumkan keutamaan membantu anak-anak yatim, orang-orang miskin termasuk yang tidak meminta-minta, janda dan anak-anak perempuan.

M78. Dari Sahl bin Saad r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Saya dan penjaga anak yatim di syurga begini.” Baginda berisyarat, menunjukkan jari telunjuk dan jari tengah seraya merenggangkan sedikit antara keduanya. (RS262; Bukhari)

M79. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Nabi s.a.w. bersabda:

“Bukanlah orang miskin itu orang yang tertolak satu atau dua biji kurma ataupun satu atau dua suap makanan. Sesungguhnya orang miskin itu ialah yang memelihara kehormatan (dari meminta-minta).” (RS264; Bukhari, Muslim)

Dan dalam riwayat lain dari kedua-dua kitab sahih ini:

“Bukanlah orang miskin itu orang yang berkeliling manusia lain sehingga tertolak satu atau dua biji kurma ataupun satu ada dua suap makanan. Orang miskin itu tidak mempunyai harta yang cukup tetapi beliau tidak memberitahu orang akan kemiskinannya agar mendapat bantuan atau berdiri untuk meminta-minta.”

M80. Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., baginda bersabda:

“Orang yang berusaha membantu janda dan orang miskin seumpama pejuang fisabilillah.” Periwayat mengira baginda juga menambah: “Dan seumpama orang yang bersolat malam tanpa henti dan orang yang berpuasa tanpa berbuka.” (RS265; Bukhari, Muslim)

M81. Dari Anas r.a. dari Nabi s.a.w., baginda bersabda:

“Sesiapa yang menjaga dua anak perempuannya sehingga dewasa, saya dan dia datang pada hari kiamat begini.” Baginda merapatkan jari-jari baginda. (RS267; Muslim)

Tuesday 14 September 2010

Mutiara 25 : Keutamaan Orang Miskin dan Lemah

(Bab 32 : Keutamaan Orang Miskin dan Lemah, Hadits RS252-RS259)


Allah Taala berfirman:

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka.” (Al-Kahfi, 18:28)


Manusia biasa menilai manusia lain berdasarkan penampilan luaran. Orang-orang kaya dan bangsawan selalunya dipandang mulia manakala orang-orang miskin dipandang rendah. Perkara ini dapat dilihat dari satu hadits (RS253) bila seorang kaya dan seorang miskin berjalan di hadapan Rasulullah dan para sahabat. Rasulullah menyatakan bahawa orang miskin tersebut lebih baik dari yang kaya. Perkara yang hampir sama berlaku dalam kisah salah seorang dari tiga bayi yang boleh bercakap (RS259).

Kemuliaan seseorang di sisi Allah berdasarkan ketaqwaannya (Al-Hujuraat, 49:13), bukan fizikal. Seorang yang miskin, berpakaian compang camping lebih mulia di sisi Allah dari seorang yang kaya, berpakaian mewah, sekiranya orang miskin tersebut lebih bertakwa.

M76. Dari Haritsah bin Wahab r.a., beliau berkata : Saya dengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Mahukah kamu aku khabarkan berkenaan ahli syurga? Mereka adalah orang yang rendah dan dipandang rendah oleh manusia tetapi apabila mereka memohon kepada Allah tentu Allah mengabulkan. Mahukah kamu aku khabarkan berkenaan ahli neraka? Mereka adalah orang yang keras hati, kikir dan sombong.” (RS252; Bukhari, Muslim)

M77. Dari Usamah r.a. dari Nabi s.a.w., baginda bersabda:

“Saya berdiri di pintu syurga. Secara umum, yang memasukinya adalah orang-orang miskin sedangkan orang-orang kaya masih tertahan. Semua ahli neraka diperintahkan untuk memasuki neraka. Dan saya berdiri di pintu neraka. Tiba-tiba secara umum, yang memasukinya adalah orang-orang perempuan.” (RS258; Bukhari, Muslim)

Saturday 11 September 2010

Mutiara 24 : Tanggungjawab Persaudaraan

(Bab 28 : Menutup Keaiban Muslim, Hadits RS240-RS243;
Bab 29 : Memenuhi Keperluan Muslim, Hadits RS244-RS245;
Bab 31 : Mendamaikan Manusia, Hadits RS248-RS251)


Allah Taala berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” (An-Nuur, 24:19)

“Dan perbuatlah kebaikan, supaya kamu mendapat kemenangan.” (Al-Hajj, 22:77)

“Dan apa sahaja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Al-Baqarah, 2:215)

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat makruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia.” (An-Nisaa’, 4:114)

“Dan perdamaian itu lebih baik.” (An-Nisaa’, 4:128)

“Bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah perhubungan di antara sesamamu.” (Al-Anfaal, 8:1)

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu.” (Al-Hujuraat, 49:10)


Imam Nawawi telah pun memasukkan hadits berkenaan tanggungjawab persaudaraan Islam dalam bab sebelum ini. Beliau menambah beberapa bab yang lebih ringkas berkenaan dengan topik ini. Antaranya ialah berkenaan dengan menutup keaiban saudara seagama.

M72. Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:

“Tidaklah seorang hamba menutup keaiban seorang hamba yang lain di dunia melainkan Allah menutup keaibannya di hari kiamat.” (RS240; Muslim)

M73. Dari Abu Hurairah r.a., baginda bersabda:

“Setiap orang dari umatku dimaafkan kecuali yang berterang-terangan berbuat dosa. Sesungguhnya di antara mereka apabila berbuat dosa di waktu malam, ia menceritakannya di waktu pagi. Padahal Allah telah menyembunyikan dosanya itu. Ia berkata: ‘Hai fulan, semalam saya melakukan begini, begini.’ Tuhannya telah menyembunyikan dosanya, tetapi pagi-pagi ia membuka apa yang disembunyikan Allah.” (RS241; Bukhari, Muslim)

Imam Nawawi kemudiannya mengemukakan hadits berkaitan dengan keutamaan menyampaikan hajat seorang muslim:

M74. Dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Seorang muslim saudara sesama muslim. Tidak boleh menzalimi atau membiarkannya dizalimi. Sesiapa yang menyampaikan hajat saudaranya, Allah akan menyampaikan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, Allah akan melapangkan dengannya kesusahan dari kesusahan-kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menyembunyikan keaiban seorang muslim, Allah menyembunyikan keaibannya di hari kiamat.” (RS233/244; Bukhari, Muslim)

Tanggungjawab seterusnya dalam persaudaraan Islam ialah mendamaikan muslim yang bertelagah. Imam Nawawi mengulangi satu hadits (M33/RS122) mengenai keluasan amal soleh dalam bab ini (RS248). Dalam hadits tersebut, Rasulullah menyatakan bahawa “mendamaikan secara adil antara dua orang itu sedekah.”

Baginda sendiri menunjukkan tauladan dalam hal ini bila baginda pernah terlambat tiba di masjid untuk bersolat kerana mendamaikan muslim yang bersengketa di kalangan Bani Amru bin Auf (RS251).

Dalam urusan mendamaikan saudara Islam yang berkelahi, Rasulullah membolehkan kita berbohong dengan cara yang baik, sekiranya perlu.

M75. Dari Ummu Kultsum binti Uqbah bin Abu Mu’aith r.a., katanya: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Bukanlah pendusta orang yang mendamaikan antara manusia lalu menyampaikan berita baik atau berkata kebaikan.” (RS249; Bukhari, Muslim)

Dalam riwayat Muslim ditambah: Beliau berkata:

“Saya tidak pernah mendengar baginda membolehkan berdusta kecuali dalam tiga keadaan: dalam peperangan, mendamaikan manusia dan perbualan suami isteri (untuk kebaikan rumahtangga).”

Wednesday 8 September 2010

Mutiara 23 : Persaudaraan Islam

(Bab 27 : Persaudaraan Islam, Hadits RS222-RS239)


Allah Taala berfirman:

“Dan barang siapa mengagungkan apa-apa yang terhormat di sisi Allah maka itu adalah lebih baik baginya di sisi Tuhannya.” (Al-Hajj, 22:30)

“Dan barang siapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketakwaan hati.” (Al-Hajj, 22:32)

“Dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman.” (Al-Hijr, 15:88)

“Barang siapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.” (Al-Maa-idah, 5:32)


Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. (Al-Hujuraat, 49:10). Rasulullah s.a.w. menegaskan hakikat ini dan menjelaskan tanggungjawab sesama muslim dalam banyak hadits-hadits. Antaranya:

M65. Dari Abu Musa r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Seorang mukmin terhadap mukmin yang lain seumpama bangunan, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain." Baginda menjalinkan antara jari-jarinya. (RS222; Bukhari, Muslim)

M66. Dari An-Nu’man bin Basyir r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Perumpamaan orang-orang beriman dalam kasih sayang, kemesraan dan sokong menyokong bagaikan satu jasad. Apabila satu anggota sakit, seluruh anggota turut merasa sakit hingga tidak dapat tidur dan demam." (RS224; Bukhari, Muslim)

M67. Dari Jarir bin Abdullah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesiapa tidak mengasihi sesama manusia, Allah tidak mengasihinya.” (RS227; Bukhari, Muslim)

M68. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Janganlah kamu dengki mendengki, janganlah kamu menawar harga untuk menjerat orang lain, janganlah benci membenci, janganlah belakang membelakangi, janganlah menjual di atas jualan lain dan jadilah hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim saudara kepada muslim yang lain. Tidak boleh menzaliminya, tidak boleh menghina dan membiarkannya dihina orang. Takwa adalah di sini. (Rasulullah menunjukkan ke dada, dan mengulanginya tiga kali). Cukuplah sebagai kejahatan seseorang kalau ia menghina saudaranya sesama muslim. Setiap muslim ke atas muslim yang lain haram darah, harta dan kehormatannya.” (RS235; Muslim)

M69. Dari Anas r.a. dari Nabi s.a.w., baginda bersabda:

“Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga mencintai bagi saudaranya apa yang ia cinta untuk dirinya sendiri.” (RS236; Bukhari, Muslim)

M70. Dari Anas r.a., ia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Bantulah saudaramu yang menzalimi atau dizalimi.” Seorang lelaki bertanya: “Ya Rasulullah, kami dapat menolongnya jika ia dizalimi. Bagaimana kami dapat menolongnya jika ia menzalimi?” Rasulullah menjawab: “Kamu mencegahnya dari menzalimi, itulah maksud menolongnya.” (RS237; Bukhari)

M71. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Hak seorang muslim ke atas muslim yang lain ada lima: menjawab salam, menziarahi orang sakit, menghantar jenazah, mendatangi undangan dan mendoakan orang bersin (mengucap ‘Yarhamukallah’ bila orang bersin mengucap ‘Alhamdulillah’).” (RS238; Bukhari, Muslim)

Dalam riwayat Muslim:

“Hak seorang muslim ke atas muslim yang lain ada enam: Jika bertemu, memberi salam; jika diundang, harus mendatangi; jika meminta nasihat, harus dinasihati; jika bersin dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’, harus dijawab ‘Yarhamukallah’; jika sakit, harus diziarahi dan jika mati, harus dihantar jenazah.”

Sunday 5 September 2010

Mutiara 22 : Haram Berlaku Zalim

(Bab 26 : Haram Berlaku Zalim, Hadits RS203-RS221)


Allah Taala berfirman:

“Orang-orang yang zalim tidak mempunyai teman setia seorang pun dan tidak (pula) mempunyai seorang pemberi syafaat yang diterima syafaatnya.” (Al-Mu’min, 40:18)

“Dan bagi orang-orang yang zalim sekali-kali tidak ada seorang penolong pun.” (Al-Hajj, 22:71)


Islam menegah kezaliman, samada mengambil hak orang lain maupun menganiaya mereka. Allah dan RasulNya mengancam orang yang zalim dalam kehidupan mereka di dunia dan juga di akhirat kelak.

M60. Dari Abu Dzar bin Junadah r.a. dari Nabi s.a.w. dalam apa yang diriwayatkan dari Allah Taala bahawa Dia berfirman:

“Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman ke atas diriKu dan menjadikannya haram sesama kamu, maka janganlah saling menzalimi.” (RS111pt; Muslim)

M61. Dari Abdullah bin Amru bin Al-Ash r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:

“Muslim ialah orang yang semua orang Islam lain selamat dari (gangguan) lidah dan tangannya. Muhajir (orang berhijrah) ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang Allah ke atasnya.” (RS211; Bukhari, Muslim)

M62.  Dari Muaz r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Takutilah doa orang yang dizalimi kerana sesungguhnya tidak ada hijab di antara doa itu dengan Allah.” (RS208pt; Bukhari, Muslim)

M63. Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesiapa yang pernah menzalimi saudaranya di segi kehormatan diri atau sesuatu yang lain, hendaklah meminta halal pada hari ini sebelum datang hari yang tidak ada dinar atau pun dirham. Jika ia mempunyai amal soleh, diambil daripadanya dengan kadar kezaliman. Jika ia tidak mempunyai kebaikan, diambil kejahatan sahabatnya itu untuk ditanggungnya.” (RS210; Bukhari, Muslim)

M64. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tahukah kamu siapa yang muflis (bankrap)? Para sahabat menjawab: “Muflis ialah orang yang tidak mempunyai dirham atau sesuatu apa pun.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya orang muflis di kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa dan zakat. Ia juga datang dengan mencaci seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpahkan darah seseorang dan memukul seseorang. Pahala kebaikannya diberikan kepada setiap orang yang dizalimi. Apabila habis pahala kebaikannya sebelum selesai kezalimannya, dosa kejahatan orang yang dizalimi ditanggungkan kepadanya. Seterusnya ia dilemparkan ke dalam neraka.” (RS218; Muslim)

Thursday 2 September 2010

Mutiara 21 : Menunaikan Amanah

(Bab 25 : Menunaikan Amanah, Hadits RS199-RS202)


Allah Taala berfirman:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya.” (An-Nisaa’, 4:58)

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” (Al-Ahzab, 33:72)


Seorang yang soleh berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diterima. Di samping itu ia tidak akan mengkhianati amanah yang dipercayakan kepadanya. Ia tahu bahawa mengkhianati amanah adalah salah satu dari sifat orang munafik, orang yang berpura-pura dengan keislaman.

M59. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tanda orang munafik itu tiga: jika berkata ia dusta, jika berjanji ia mungkir dan jika diberi amanah, ia khianat." (RS199; Bukhari, Muslim)

Dalam riwayat lain (ditambah): "Walau ia berpuasa, bersembahyang dan merasakan dirinya muslim."

Imam Nawawi turut memasukkan dalam bab ini satu cerita yang panjang (RS202) bagaimana seorang sahabat, Abdullah bin Az-Zubair menunaikan amanah bapanya, Az-Zubair bin Al-Awwam, untuk membahagikan pusaka beliau setelah menjual harta dan melangsaikan hutang Az-Zubair selepas kematiannya.

Monday 30 August 2010

Mutiara 20 : Amaran Berdakwah Tanpa Amal

(Bab 24 : Amaran Berdakwah Tanpa Amal, Hadits RS198)


Allah Taala berfirman:

“Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedang kamu melupakan diri (kewajipan)mu sendiri, padahal kamu membaca kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berfikir?” (Al-Baqarah, 2:44)

“Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (Ash-Shaff, 61:2-3)

“(Syuaib berkata): Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang.” (Huud, 11:88)


Seorang yang soleh mengerjakan makruf dan menyuruh orang lain mengerjakannya. Beliau juga mengelak diri dari melakukan kemungkaran di samping menegah orang lain dari melakukan kemungkaran tersebut. Allah dan RasulNya memberi amaran kepada orang-orang yang hanya menyuruh kepada makruf dan menegah daripada kemungkaran sedangkan amalan mereka tidak menepati apa yang mereka dakwahkan.

M58. Dari Abu Zaid Usamah bin Zaid bin Haritsah r.a., katanya: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Seorang lelaki didatangkan pada hari kiamat kemudian dilemparkan ke dalam neraka sehingga keluar usus perutnya. Orang itu berputar pada usus perutnya sebagaimana berputar keldai pada penggilingan. Ahli neraka berkumpul kepadanya lalu bertanya: ‘Kenapa begini hai Fulan? Bukankah kamu menyuruh kepada makruf dan menegah daripada kemungkaran?" Ia menjawab: ‘Benar, saya dahulu menyuruh kepada makruf, tetapi saya sendiri tidak melakukannya; dan saya menegah daripada kemungkaran, tetapi saya sendiri mengerjakannya.’" (RS198; Bukhari, Muslim)

Saturday 28 August 2010

Mutiara 19 : Menyuruh Makruf, Mencegah Mungkar

(Bab 23 : Menyuruh Makruf, Mencegah Mungkar, Hadits RS184-RS197)


Allah Taala berfirman:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Ali Imran, 3:104)

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar.” (Ali Imran, 3:110)

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar.” (At-Taubah, 9:71)

Ayat-ayat lain : Al-A’raaf, 7:199; Al-Maa-idah, 5:78-79; Al-Kahfi, 18:29; Al-Hijr, 15:94; Al-A’raaf, 7:165.


Orang-orang beriman mengambil berat makruf yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. dan kemungkaran yang ditegah. Mereka sedaya upaya melakukan kewajipan yang telah ditetapkan ke atas mereka dan sekuat hati cuba meninggalkan apa-apa yang terlarang. Perintah dan larangan Allah ini tidak terhad untuk diri mereka sahaja, tetapi juga keluarga, masyarakat, negara dan dunia umumnya.

Orang-orang yang beriman tentunya tidak akan senang hati selagi makruf tidak dilakukan dan kemungkaran berleluasa di luar sana. Mereka berusaha untuk membenteras kemungkaran dan menegakkan makruf, bersendirian maupun berkerjasama dengan orang lain.

M52. Dari Abu Said al-Khudri r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, ubahlah dengan tangannya; jika tidak mampu, ubahlah dengan lidah dan jika tidak mampu juga, ubahlah dengan hati. Ini adalah selemah-lemah iman. (RS184; Muslim)

M53. Dari Ibnu Mas'ud r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tiada seorang nabi yang diutuskan Allah sebelumku melainkan ia mempunyai pengikut-pengikut dan sahabat-sahabat setia yang mengikuti sunnah dan mentaati perintahnya. Kemudian timbul selepas mereka pengganti yang suka mengatakan apa yang mereka tidak lakukan dan melakukan apa yang tidak diperintahkan.

Sesiapa yang menentang mereka dengan tangannya, ia mukmin; sesiapa yang menentang mereka dengan lidahnya, ia mukmin dan sesiapa yang menentang mereka dengan hatinya, ia juga mukmin. Selain dari itu, tidak ada iman walau seberat biji sawi.” (RS185; Muslim)

M54. Dari An-Nu'man bin Basyir r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:

"Perumpamaan orang yang menegakkan hukum Allah dan orang yang menjerumuskan diri di dalamnya seperti satu kaum yang membahagikan tempat dalam sebuah kapal. Sebahagian berada di atas dan sebahagian lagi di bawah. Apabila orang-orang yang berada di bahagian bawah memerlukan air mereka naik ke atas, tentunya menyusahkan mereka. Mereka berkata: ‘Bagaimana kalau kita membuat lubang di bahagian bawah kita ini (untuk mendapatkan air), dengan itu tidak mengganggu orang yang berada di atas?’ Sekiranya orang-orang di atas membiarkan sahaja orang di bawah berbuat begitu, tentulah semua akan karam. Kalau mereka mencegah, semua terselamat.” (RS187; Bukhari)

M55. Dari Abu Said Al-Khudri r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:

"Jauhilah dari duduk-duduk di jalan-jalan." Para sahabat berkata: "Ya Rasulullah, kami tidak dapat meninggalkan tempat itu kerana mahu berbual-bual.” Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Jika kamu enggan meninggalkannya, berilah hak jalan.” Mereka bertanya: "Apakah hak jalan itu,ya Rasulullah?" Baginda bersabda: "Pejamkan mata, tidak mengganggu, menjawab salam, menyuruh makruf dan mencegah mungkar.” (RS190; Bukhari, Muslim)

M56. Dari Hudzaifah r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:

"Demi Dia yang jiwaku di tanganNya, hendaklah kamu menyuruh makruf dan mencegah kemungkaran . Kalau tidak, Allah akan menurunkan siksaan kepada kamu. Kemudian kamu berdoa kepadaNya tetapi tidak akan dikabulkan." (RS193; Tarmizi)

M57. Dari Abu Said al-Khudri r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:

"Seutama-utamanya jihad ialah kalimat menuntut keadilan di hadapan penguasa yang menyeleweng." (RS194; Abu Daud, Tarmizi)

Tuesday 24 August 2010

Mutiara 18 : Menganjur dan Bertolongan untuk Kebaikan

(Bab 19 : Mencontohkan Amal Baik dan Jahat, Hadits RS171-RS172;
Bab 20 : Menganjur Kebaikan atau Kesesatan, Hadits RS173-RS176;
Bab 21 : Bertolongan untuk Kebajikan dan Takwa, Hadits RS177-RS180;
Bab 22 : Nasihat, Hadits RS181-RS183)


Allah Taala berfirman:

“Dan orang-orang yang berkata: ‘Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.’” (Al-Furqaan, 25:74)

“Kami telah menjadikan mereka itu sebagai pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami.” (Al-Anbiyaa’, 21:73)

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik.” (An-Nahl, 16:125)

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa.” (Al-Maa-idah, 5:2)

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Al-‘Ashr, 103:1-3)

Ayat-ayat lain : Al-Hajj, 22:76; Ali Imran, 3:104; Al-Hujuraat, 49:10; Al-A’raaf, 7:62; Al-A’raaf, 7:68.


Orang-orang yang soleh tidak mengasingkan diri dari masyarakat. Mereka memberi manfaat dan mengambil manfaat dari masyarakat, manfaat yang boleh membantu kehidupan di akhirat kelak. Mereka mencontohi orang-orang soleh yang lain, dan mereka menjadi contoh tauladan kepada orang lain. Mereka juga bantu membantu untuk mentaati Allah, saling nasihat menasihati dengan kebenaran dan kesabaran.

M48. Dari Abu Amr Jarir bin Abdullah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa memulakan contoh yang baik dalam Islam, ia beroleh pahalanya dan pahala orang yang mengikut tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Dan sesiapa yang memulakan contoh yang buruk dalam Islam, ia beroleh dosanya dan dosa orang yang mengikut tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.” (RS171; Muslim)

M49. Dari Abul Abbas Sahl bin Saad As-Saidi r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Demi Allah! Jika Allah memberi petunjuk kepada seseorang dengan sebab usahamu, itu lebih baik dari kamu beroleh binatang ternak yang merah-merah." (RS175; Bukhari, Muslim)

M50. Dari Abu Abdul Rahman Zaid bin Khalid Al-Juhani r.a., katanya: Nabi Allah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang menyediakan keperluan orang yang berjihad fisabilillah, sesungguhnya ia berjihad. Dan sesiapa yang menjaga keluarga orang yang berjihad fisabilillah, sesungguhnya ia berjihad." (RS177; Bukhari, Muslim)

M51. Dari Abu Ruqayyah Tamin bin Aus Ad-Dari r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

"Agama itu nasihat." Kami bertanya: "Untuk siapa?" Baginda menjawab: "Untuk Allah, kitabNya, rasulNya, pemimpin-pemimpin serta seluruh umat Islam" (RS181; Muslim)

Sunday 22 August 2010

Mutiara 17 : Tegahan Bidaah

(Bab 18 : Tegahan Bidaah, Hadits RS169-RS170)


Allah Taala berfirman:

“Tidaklah Kami alpakan sesuatu pun di dalam kitab.” (Al-An’aam, 6:38)

“Jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya).” (An-Nisaa’, 4:59)

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya.” (Al-An’aam, 6:153)

Ayat-ayat lain : Yunus, 10:32; Ali Imran, 3:31.


Setiap amalan yang tidak bersandarkan Al-Quran dan sunnah adalah tertolak. Amalan-amalan tersebut mungkin berasal daripada agama asal sesuatu masyarakat sebelum mereka menerima Islam, bercampur-aduk dengan amalan masyarakat lain yang tidak beragama Islam, direka oleh orang-orang tertentu dalam masyarakat maupun dicipta sendiri oleh seseorang individu.

M46. Dari Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan (agama) kami ini dengan perkara yang tidak ada dasar daripadanya, ia tertolak." (RS169; Bukhari, Muslim)

Dalam riwayat Muslim juga:

"Sesiapa yang beramal dengan amalan yang tidak berasal dari urusan (agama) kami, ia tertolak.”

M47. Dari Jabir r.a., katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. apabila berkhutbah, merah padam mata baginda, lantang suaranya, kelihatan sangat serius seolah-olah baginda memberi amaran kepada tentera dengan bersabda: “Bersiap sedialah kamu dari musuh yang menyerang pagi dan petang.” Baginda bersabda:

"Aku diutuskan ketika hari kiamat telah hampir seperti dua jari ini.” Baginda merapatkan jari telunjuk dan jari tengah. Kemudian menambah: "Kemudian dari itu, sesungguhnya sebaik-baik keterangan ialah Kitab Allah (Al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad s.a.w. Seburuk-buruk urusan (agama) ialah yang diada-adakan dan setiap bidaah itu sesat." (RS170; Muslim)

Wednesday 18 August 2010

Mutiara 16 : Menjaga Sunnah

(Bab 16 : Menjaga Sunnah, Hadits RS156-RS167)


Allah Taala berfirman:

“Dan tidaklah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” (An-Najm, 53:3-4)

“Katakanlah: ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Rasulullah), nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’" (Ali Imran, 3:31)

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat.” (Al-Ahzab, 33:21)

“Barangsiapa yang mentaati rasul, sesungguhnya ia telah mentaati Allah.” (An-Nisaa’, 4:80)

Ayat-ayat lain : Al-Hasyr, 59:7; An-Nisaa’, 4:65; An-Nisaa’, 4:59; Asy-Syuura, 42:52; An-Nuur, 24:63; Al-Ahzab, 33:34.


Allah s.w.t. mengutuskan Nabi s.a.w., seorang manusia, bukannya malaikat, untuk memberi petunjuk kepada umat manusia. Seorang manusia lebih mudah ditauladani oleh manusia lain. Apa yang diajar oleh Rasulullah yang berupa suruhan atau larangan adalah berdasarkan wahyu Allah dan perlu diikuti oleh setiap orang beriman.

M43. Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:

"Biarlah dengan apa yang aku biarkan dari kamu. Sesungguhnya yang membinasakan orang-orang sebelum kamu ialah banyaknya pertanyaan mereka dan menyalahi nabi-nabi mereka. Oleh itu apabila aku melarang kamu dari sesuatu, jauhilah ia dan apabila aku menyuruh kamu dengan suatu perintah, lakukanlah ia sedaya upaya kamu." (RS156; Bukhari, Muslim)

M44. Dari Abu Najih Al-Irbadh bin Sariyah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. menyampaikan pengajaran yang meresap ke hati dan mencucurkan airmata. Kami pun berkata: “Wahai Rasulullah, itu seolah-olah pengajaran perpisahan, maka wasiatkanlah kami.” Baginda bersabda:

"Saya berwasiatkan kepada kamu semua untuk bertaqwa kepada Allah, serta mendengar dan mentaati pemimpin walau ia seorang hamba Habsyi. Sesungguhnya yang lanjut usia di antara kamu akan melihat perselisihan yang banyak. Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ Ar-Rasyidin (khalifah-khalifah yang beroleh petunjuk). Gigitlah ia kuat-kuat dengan gigi gerahammu. Berhati-hatilah kamu dari sesuatu yang serba baru kerana sesungguhnya setiap bidaah itu sesat.” (RS157; Abu Daud, Tarmizi)

M45. Dari Abis bin Rabi'ah, katanya: Saya melihat Umar bin Al-Khattab r.a. mencium Hajarul Aswad (batu hitam berhampiran kaabah) dan berkata:

"Sesungguhnya aku tahu bahawa kamu adalah batu yang tidak dapat memberi manfaat atau mudarat. Sekiranya aku tidak melihat Rasulullah s.a.w. menciummu, pasti aku juga tidak menciummu." (RS167; Bukhari, Muslim)

Sunday 15 August 2010

Mutiara 15 : Mentaati Hukum Allah

(Bab 17 : Mentaati Hukum Allah, Hadits RS168)


Allah Taala berfirman:

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (An-Nisaa’, 4:65)

“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan: ‘Kami mendengar dan kami patuh.’ Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (An-Nuur, 24:51)


Keimanan kepada Allah s.w.t. menuntut seseorang tunduk kepada peraturan hidup yang telah ditetapkan olehNya samada yang dinyatakan di dalam Al-Quran maupun yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Seorang yang beriman akur bahawa Allah Maha Bijaksana di dalam menentukan jalan hidup mereka. Lantas ia dengar dan taat kepada setiap perintah Allah s.w.t.

M42. Dari Abu Hurairah r.a.katanya: Apabila turun ayat berikut kepada Rasulullah s.a.w. : “Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”(Al-Baqarah, 2:284), para sahabat terasa berat. Mereka pergi mengadap Rasulullah s.a.w. sambil merangkak.

Mereka berkata: “Ya Rasulullah, kami dapat menerima tanggungjawab amalan solat, jihad, puasa dan sedekah, dengan sedaya upaya. Kini diturunkan kepada kamu satu ayat yang kami tidak mampu melaksanakannya.” Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Apakah kamu mahu menjadi seperti dua ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) sebelum kamu yang berkata: ‘Kami dengar dan kami langgar’? Bahkan katakanlah: ‘Kami dengar dan kami taat. Ampunkanlah kami wahai Tuhan Kami. Kepada Engkaulah kami kembali.’”

Apabila mereka membacanya dan bacaan itu ringan di lidah, Allah menurunkan ayat selanjutnya: “Rasul telah beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): ‘Kami tidak membeza-bezakan antara seseorang pun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya’, dan mereka mengatakan: ‘Kami dengar dan kami taat’. (Mereka berdoa): ‘Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali’.” (Al-Baqarah, 2:285)

Apabila mereka melaksanakan yang demikian, Allah memansukhkan hukum ayat itu dengan menurunkan ayat: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebaikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): ‘Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah.’” Baginda bersabda: “Ya.”

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir". (Al-Baqarah, 2:286) Baginda bersabda: “Ya.” (RS168; Muslim)

Thursday 12 August 2010

Mutiara 14 : Menjaga Penerusan Amal

(Bab 15 : Menjaga Penerusan Amal, Hadits RS153-RS155)


Allah Taala berfirman:

“Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras.” (Al-Hadiid, 57:16)

“Kemudian Kami iringkan di belakang mereka rasul-rasul Kami dan Kami iringkan (pula) Isa putera Maryam; dan Kami berikan kepadanya Injil dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutinya rasa santun dan kasih sayang. Dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah padahal Kami tidak mewajibkannya kepada mereka tetapi (mereka sendirilah yang mengada-adakannya) untuk mencari keredaan Allah, lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya.” (Al-Hadiid, 57:27)

“Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi cerai berai kembali.” (An-Nahl, 16:92)

“Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).” (Al-Hijr, 15:99)


Sebagaimana yang disebutkan dalam hadits dalam mutiara sebelum ini (Mutiara 13, M36/RS142) amalan yang disukai Allah ialah yang dilakukan secara berterusan. Kita perlu istiqamah beramal sehingga akhir nanti. Kualiti dan kuantiti amal boleh ditambah dari masa ke semasa, sesuai dengan kemampuan diri.

Antara cara untuk mencapai tujuan ini ialah dengan bersederhana (Mutiara 13) dan mujahadah (Mutiara 11). Rasulullah s.a.w. menasihati seorang sahabat untuk beristiqamah:

M39. Dari Abdullah bin Amru Al-Ash r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku:

"Wahai Abdullah, janganlah kamu menjadi seperti fulan. Dulu beliau berqiamullail, sekarang beliau meninggalkannya." (RS154; Bukhari, Muslim)

Walaupun pahala masih diperolehi kalau tidak dapat melakukan amal kerana keuzuran (M35/RS133) namun digalakkan untuk mengerjakannya juga bila berkesempatan di masa lain. Ini untuk memastikan rutin amal tersebut berterusan.

M40. Dari Umar Al-Khattab r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa tertidur dari membacakan hizib (bahagian dari Al-Quran) malam atau sebahagian dari hizibnya, kemudian ia membaca antara solat fajar dan zuhur, dicatat seolah-olah ia membaca di waktu malam." (RS153; Muslim)

M41. Dari Aisyah r.a., katanya: "Apabila Rasulullah s.a.w. terhalang dari solat malam kerana sakit atau selainnya, baginda bersolat 12 rakaat di waktu siang." (RS155; Muslim)

Baginda biasanya bersolat malam 11 rakaat termasuk witir. Solat yang digantikan ialah 12 rakaat, maksudnya bukan mengqadha witir tersebut.

Monday 9 August 2010

Mutiara 13 : Sederhana dalam Beramal

(Bab 14 : Sederhana dalam Beramal, Hadits RS142-RS152)


Allah Taala berfirman:

“Thaahaa. Kami tidak menurunkan Al-Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah.” (Thaahaa, 20:1-2)

“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Al-Baqarah, 2:185)

Islam adalah agama sederhana, di tengah antara dua keadaan yang melampau. Begitu juga dalam beramal, Islam mengajar kita bersederhana. Kita perlu bersederhana di antara dua sifat melampau, bermalas dan terlalu memaksa diri. Bersederhana dalam beramal ialah dengan melakukannya sesuai dengan kemampuan diri, tanpa mengabaikan sebarang tanggungjawab.

M36. Dari Aisyah r.a. bahawa Nabi s.a.w. memasuki rumah dan sewaktu seorang wanita berada di sisinya. Baginda bertanya: "Siapakah ini?" Aisyah menjawab: "Ini fulanah yang terkenal dengan (ketekunan) solatnya.” Baginda bersabda:

"Mah (ucapan menunjukkan ketidak senangan)! Beramallah kamu sesuai dengan kemampuanmu. Demi Allah! Allah tidak jemu (menerima amalanmu) sehingga kamu jemu. Pengamalan agama yang paling disukai Allah ialah yang dilakukan secara berterusan." (RS142; Bukhari, Muslim)

Beramal secara sederhana dapat memastikan sesuatu amalan dapat dilakukan dengan istiqamah.

M37. Dari Anas r.a., katanya: Tiga orang menziarahi rumah isteri-isteri Nabi s.a.w. bertanyakan ibadah Nabi s.a.w. Setelah mereka diberitahu, mereka merasakan amalan baginda sedikit dan berkata: “Di mana kita berbanding dengan Nabi s.a.w., baginda diampuni segala dosa yang lalu dan akan datang."

Seorang dari mereka berkata: "Saya akan bersolat malam selama-lamanya.” Seorang lagi berkata: “Saya akan berpuasa selama-lamanya.” Seorang lain pula berkata: "Saya akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya."

Rasulullah s.a.w. datang kepada mereka dan bersabda:

"Kamukah yang berkata begini dan begini? Demi Allah! Sesungguhnya aku yang paling takut kepada Allah dan paling bertakwa di antara kamu sekalian. Walau bagaimanapun aku berpuasa dan berbuka, aku bersolat dan tidur, dan aku berkahwin dengan beberapa orang wanita. Sesiapa yang bencikan sunnahku maka ia bukan dari golonganku." (RS143; Bukhari, Muslim)

Begitulah sunnah Rasulullah. Baginda pernah menegur dan menghadkan amalan seorang sahabat, Abdullah bin Amru Al-Ash r.a. yang bersumpah untuk berpuasa setiap hari dan bersembahyang sepanjang malam (RS150). Ujar baginda kepada beliau, “Sesungguhnya jasad kamu mempunyai hak, mata kamu mempunyai hak, isteri kamu mempunyai hak dan tetamu kamu mempunyai hak ke atas kamu.”

Baginda juga bersetuju dengan Salman Al-Farisi yang menegur Abu Darda’ yang kuat beribadat (RS149) dengan berkata: “Sesungguhnya Tuhan kamu mempunyai hak, diri kamu mempunyai hak dan keluarga kamu mempunyai hak ke atas kamu. Berikan hak masing-masing.” Rasulullah bersabda: “Benar Salman.”

Benarlah agama ini mudah, sesuai untuk semua manusia.

M38. Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya:

"Sesungguhnya agama ini mudah. Tidaklah seseorang mempersukarkan agama melainkan ia akan kalah. Bersederhanalah, beransur-ansur dan bukalah harapan. Pergunakanlah waktu pagi dan petang juga sebahagian waktu malam." (RS145; Bukhari)

Dalam riwayat Bukhari yang lain, "Bersederhana dan beransur-ansurlah. Pergunakan waktu pagi dan petang juga sebahagian waktu malam. Bersederhanalah, kamu pasti akan sampai."

Friday 6 August 2010

Mutiara 12 : Keluasan Amal Soleh

(Bab 13 : Keluasan Amal Soleh, Hadits RS117-RS141)


Allah Taala berfirman:

“Dan apa sahaja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Al-Baqarah, 2:215)

“Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya.” (Al-Baqarah, 2:197)

“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.” (Az-Zalzalah, 99:7)

“Barangsiapa yang mengerjakan amal yang soleh maka itu adalah untuk dirinya sendiri.” (Al-Jaatsiyah, 45:15)

Kita diciptakan Allah untuk beribadah kepadanya (Adz-Dzaariyaat, 51:56). Ibadah dan ‘sedekah’, istilah yang digunakan dalam hadits berikut mempunyai maksud yang luas.

M32. Dari Abu Dzar r.a., ada orang-orang berkata:

"Ya Rasulullah, orang-orang kaya membolot pahala-pahala. Mereka bersembahyang sebagaimana kami bersembahyang dan mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa. Mereka dapat bersedekah dengan kelebihan harta mereka.” Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Bukankah Allah telah menyediakan untuk kamu sesuatu yang kamu dapat bersedekah? Sesungguhnya setiap tasbih itu sedekah, setiap takbir adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, menyuruh kepada kebaikan juga sedekah, melarang dari kemungkaran pun sedekah. Bahkan persetubuhan kamu adalah sedekah."

Mereka berkata: "Ya Rasulullah, masakan seseorang dari kami yang memenuhi syahwatnya beroleh pahala?" Baginda bersabda:

"Tidakkah kamu lihat, sekiranya seseorang memuaskan syahwatnya secara haram ia beroleh dosa? Begitu juga ia beroleh pahala kalau memuaskan syahwat secara halal." (RS120; Muslim)

Hadits di atas juga menunjukkan betapa para sahabat berlumba-lumba untuk mendapatkan pahala dari Allah s.w.t. Hadits-hadits berikut juga menunjukkan keluasan amal soleh di dalam Islam.

M33. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Setiap sendi manusia berkewajipan bersedekah setiap hari terbitnya matahari. Mendamaikan secara adil antara dua orang itu sedekah, membantu seseorang menaiki kenderaannya sedekah, membantu mengangkat barangnya ke atas kenderaan itu sedekah, kata-kata yang baik itu sedekah, setiap langkah ke tempat bersembahyang itu sedekah dan menyingkirkan gangguan dari jalan itu juga sedekah." (RS122; Bukhari, Muslim)

Dalam riwayat Muslim dari Aisyah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya setiap manusia Bani Adam terdiri dari tiga ratus enam puluh sendi. Sesiapa bertakbir kepada Allah, bertahmid kepada Allah, bertahlil kepada Allah, bertasbih kepada Allah, beristighfar kepada Allah, menyingkirkan batu, duri atau tulang dari jalan, menyuruh kepada kebaikan dan melarang dari kemungkaran sebanyak tiga ratus enam puluh kali, sesungguhnya ia berpetang pada hari itu menyelamatkan dirinya dari neraka."

M34. Dari Abu Hurairah r.a. pula dari Nabi s.a.w., sabdanya:

"Iman terdiri dari tujuh puluh lebih atau enam puluh lebih cabang. Yang paling utama ialah ucapan Lailahaillallah dan yang paling rendah ialah menyingkirkan gangguan dari jalan. Malu adalah salah satu cabang dari iman." (RS125; Bukhari, Muslim)

Selain dari amalan yang telah disebutkan ini, Rasulullah s.a.w. juga menceritakan (RS126) bagaimana seorang lelaki, dalam riwayat lain, seorang pelacur Bani Israel, beroleh pahala dan diampunkan Allah kerana memberi minum anjing yang kehausan.

Seseorang yang tidak dapat melakukan amalan biasanya kerana keuzuran akan terus beroleh pahala.

M35. Dari Abu Musa Al-Asyaari r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Seseorang hamba yang sakit atau bermusafir, dicatat baginya (pahala) sebagaimana ia beramal sewaktu bermukim atau sihat." (RS133; Bukhari)

Tuesday 3 August 2010

Mutiara 11 : Mujahadah (Bersungguh-sungguh)

(Bab 11 : Mujahadah, Hadits RS95-RS111)


Allah Taala berfirman:

“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk (mencari keredaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan Kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.” (Al-‘Ankabuut, 29:69)

“Sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadahlah kepada-Nya dengan penuh ketekunan.” (Al-Muzzammil, 73:8)

Ayat-ayat lain : Al-Hijr, 15:99; Az-Zalzalah, 99:7; Al-Muzzammil, 73:20; Al-Baqarah, 2:215.

Mentaati Allah s.w.t., mengerjakan suruhan dan meninggalkan laranganNya, memerlukan mujahadah, kesungguhan. Allah menjanjikan petunjukNya kepada orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk mencapai keredaanNya.

Amalan yang perlu diutamakan ialah mengerjakan kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah. Amalan sunat tidak bernilai sekiranya amalan fardhu ditinggalkan. Dengan mengerjakan amalan wajib dan nawafil, kehidupan seseorang diberkati. Ia hanya mahu mendengar dan melihat perkara-perkara yang diredai Allah. Ia juga hanya mahu menggunakan tangan dan kakinya untuk melakukan amalan yang membawa keredaanNya.

M28. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya Allah Taala berfirman: Sesiapa memusuhi waliKu, Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Tidaklah hambaKu mendekatiKu dengan sesuatu yang lebih Aku sukai daripada melakukan apa-apa yang difardhukan ke atasnya. Tidaklah seorang hambaKu mendekatiKu dengan melakukan nawafil (amalan sunat) melainkan Aku akan mencintainya. Apabila Aku mencintainya, Aku-lah pendengaran yang ia mendengar dengannya, Akulah pengelihatan yang ia melihat dengannya, tangan yang ia pergunakan dan kaki yang ia berjalan dengannya. Sekiranya ia memohon sesuatu daripadaKu, pasti Kuberi dan sekiranya ia memohon perlindunganKu, pasti Kulindungi." (RS95; Bukhari))(Arbain Nawawi, Hadits 38)

Kesungguhan seseorang untuk mendekati Allah, akan disambut dengan ganjaran yang melebihi kesungguhannya itu. Semakin tinggi kesungguhannya, semakin tinggi ganjaran yang diperolehi.

M29. Dari Anas r.a. dari Nabi s.a.w. dalam sesuatu yang diriwayatkan dari Tuhannya Azzawajalla, firmanNya:

"Jika seorang hamba mendekat kepadaKu sejengkal, Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika ia mendekat kepadaKu sehasta, Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika ia mendatangiKu dengan berjalan, Aku mendatanginya dengan berlari." (RS96; Bukhari)

M30. Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah dari orang mukmin yang lemah. Namun pada setiapnya ada kebaikan masing-masing. Bersungguhlah untuk mengerjakan apa yang bermanfaat kepadamu, mohonlah pertolongan kepada Allah dan jangan merasa lemah. Jika kamu terkena musibah, janganlah berkata: ‘Kalaulah saya mengerjakan begini, tentu akan menjadi begini dan begitu.’ Tetapi katakanlah: ‘Ini adalah takdir Allah, Dia melaksanakan apa yang dikehendakiNya.’ Sesungguhnya kata-kata ‘kalaulah’ itu membuka pintu amalan syaitan." (RS100; Muslim)

M31. Dan darinya (Abu Hurairah r.a.) juga bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Neraka tertutup dengan syahwat hawa nafsu sementara syurga tertutup dengan sesuatu yang tidak disenangi." (RS101, Bukhari, Muslim)

Saturday 31 July 2010

Mutiara 10 : Bersegera Mengerjakan Kebaikan

(Bab 10 : Bersegera Mengerjakan Kebaikan, Hadits RS87-RS94)


Allah Ta'ala berfirman:

“Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan.” (Al-Baqarah, 2:148; Al-Maa-idah, 5:48)

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.” (Ali Imran, 3:133)

Peluang beribadah tidak patut dipersia-siakan. Amal soleh di hari ini memberi kekuatan kepada seseorang untuk terus beramal sewaktu berhadapan dengan kesukaran dan keuzuran di hari esoknya. Jangan bertangguh untuk beramal kerana peluang hari ini tidak semestinya berulang kembali.

M26. Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Bersegeralah kamu mengerjakan amal-amal soleh kerana akan terjadi suatu bencana bagaikan malam yang gelap gulita. Ketika itu seseorang beriman di waktu pagi menjadi kafir di waktu petang; dan beriman di waktu petang menjadi kafir di waktu pagi. Ia menjual agamanya untuk keuntungan dunia." (RS87; Muslim)

M27.Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Bersegeralah kamu beramal sebelum datang tujuh perkara. Apakah kamu nantikan kemiskinan yang melalaikan, atau kekayaan yang menyombongkan, atau kesakitan yang merosakkan, atau usia tua yang melemahkan, atau kematian yang melenyapkan segala-galanya, atau Dajjal, sejahat-jahat yang dinantikan, atau hari kiamat, maka hari kiamat itu lebih berat dan lebih sukar." (RS93; Tarmizi)

Thursday 29 July 2010

Mutiara 9 : Tafakur (Merenung dan Berfikir)

(Bab 9 : Tafakur)


Firman Allah s.w.t.:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka.” (Ali Imran, 3:190-191)

“Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana dia diciptakan, Dan langit, bagaimana ia ditinggikan? Dan gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan? Dan bumi bagaimana ia dihamparkan?Maka berilah peringatan, kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan.” (Al-Ghaasyiyah, 88:17-21)

Ayat-ayat lain : Saba’, 34:46; Muhammad, 47:10

Masa seorang yang soleh sentiasa terisi. Perbuatannya diisi dengan amal soleh, pertuturannya diisi dengan hikmah, diamnya diisi dengan zikir dan fikir. Tidak ada masa untuknya berkhayal. Ia memikirkan ciptaan-ciptaan Allah seraya tunduk kepada Penciptanya. Ia juga memikirkan persiapan diri untuk menghadapi hari kemudian, merancang sebelum beramal dan memuhasabah amalan selepasnya.

M25. Dari Abu Ya'la Syaddad bin Aus r.a.dari Nabi s.a.w., sabdanya:

"Orang yang bijak ialah orang yang memperhitungkan dirinya dan beramal sebagai bekal sesudah mati. Orang yang lemah pula ialah orang yang menurut hawa nafsunya tetapi mengharapkan pelbagai angan-angan kepada Allah." (RS66; Tarmizi)

Tuesday 27 July 2010

Mutiara 8 : Istiqamah (Tetap Lurus)

(Bab 8 : Istiqamah, Hadits RS85-RS86)


Allah s.w.t. berfirman:

“Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu.” (Huud, 11:112)

“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah" kemudian mereka beristiqamah (tetap lurus), maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan): "Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu". Kami lah Pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan di akhirat; di dalamnya kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh (pula) di dalamnya apa yang kamu minta. Sebagai hidangan (bagimu) dari Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Fushshilat, 41:30-32)

“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka beristiqamah (tetap lurus) maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka tidak (pula) berdukacita. Mereka itulah penghuni-penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan.” (Al-Ahqaaf, 46:13-14)

Keimanan yang diucapkan oleh seseorang memerlukan pembuktian melalui amalan yang lurus, mematuhi perintah Allah dan meninggalkan laranganNya, secara berterusan. Hakikat ini juga diajar Rasulullah s.a.w. apabila ditanya oleh seorang sahabat baginda.

M24. Dari Abu Amru, dikatakan juga, Abu Amrah Sufyan bin Abdullah r.a, katanya: Saya pernah bertanya Rasulullah s.a.w.: Beritahulah aku suatu ajaran mengenai Islam, yang tidak akan aku tanyakan lagi berkenaannya dari orang selain daripada engkau. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Katakanlah: aku beriman dengan Allah, kemudian engkau beristiqamah (tetap lurus)." (RS85; Muslim)(Hadits 21, Arbain Nawawi)

Saturday 24 July 2010

Mutiara 7 : Yakin dan Tawakal

(Bab 7 : Yakin dan Tawakal, Hadits RS74-RS84)


Firman Allah Taala:

“(Iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan: "Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka", maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: "Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.” Maka mereka kembali dengan nikmat dan kurnia (yang besar) dari Allah, mereka tidak mendapat bencana apa-apa, mereka mengikuti keredaan Allah. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (Ali Imran, 3:173-174)

“Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah.” (Ali Imran, 3:159)

“Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.” (Ath-Thalaaq, 65:3)

Ayat-ayat lain yang disertakan: Al-Ahzab, 33:22; Al-Furqaan, 25:58; Ibrahim, 14:11 dan Al-Anfal, 8:2.

Seorang yang beriman yakin dengan kekuasaan Allah s.w.t. yang menguasai dan menentukan segala urusan. Ia berusaha kemudian bertawakal kepada Allah dengan hasil usahanya itu.

Kita lihat bagaimana Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar r.a. semasa berhijrah, mereka berusaha mengelakkan diri dari kaum musyrikin dengan bersembunyi di dalam sebuah gua. Rasulullah menenangkan Abu Bakar bahawa Allah yang ketiga di antara mereka apabila mereka hampir dijejaki musuh (RS81). Peristiwa ini dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam surah At-Taubah, 9:40.

Kita juga dapat lihat keyakinan Rasulullah dengan pertolongan Allah dalam menundukkan seorang Arab Badwi yang menghunuskan pedang kepada baginda (RS78).

M21. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya:

"(Lafaz) ‘Hasbunallahu wa ni'mal wakil’(Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Dia adalah sebaik-baik Pelindung) pernah diucapkan oleh Ibrahim a.s. ketika beliau dilemparkan ke dalam api. Ia juga diucapkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. ketika orang-orang berkata: ‘Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka,’ tetapi perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: Hasbunallahu wa ni'mal wakil.” (RS76; Bukhari)

Dalam riwayat Bukhari juga dari Ibnu Abbas r.a. disebutkan: “Ucapan Nabi Ibrahim yang terakhir ketika beliau dilemparkan ke dalam api ialah: Hasbiallahu wa ni'mal wakil (Cukuplah Allah menjadi Penolongku dan Dia adalah sebaik-baik Pelindung)."

M22. Dari Umar r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan tawakal yang sebenar-benarnya, nescaya Dia akan memberikan rezeki kepadamu sebagaimana Dia memberikan rezeki kepada burung yang keluar pagi berperut kosong dan kembali petang kekenyangan. (RS79; Tarmizi)

M23. Dari Anas r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang mengucapkan ketika keluar dari rumahnya: ‘Bismillahi tawakkaltu alallaahi wala haula wala quwwata illa billah (Dengan menyebut nama Allah, aku bertawakal kepada Allah dan tiada daya serta kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah)’, dikatakan kepadanya: ‘Kamu telah diberi petunjuk, dipercukupkan dan dipelihara.’ Syaitan pun menjauhkan diri darinya." (RS83, Abu Daud, Tarmizi, An-Nasaei)

Dalam riwayat lain, Syaitan berkata kepada syaitan yang lain: “Bagaimana kamu dapat mengganggu orang yang mendapat petunjuk, dipercukupkan dan dipelihara?”

Tuesday 20 July 2010

Mutiara 6 : Takwa

(Bab 6 : Takwa, Hadits RS69-RS73)


Allah Taala berfirman:

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya.” (Ali Imran, 3:102)

“Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu.” (At-Taghaabun, 64:16)

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar.” (Al-Ahzab, 33:70)

“Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.” (Ath-Thalaaq, 65:2&3)

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu furqaan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa)mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (Al-Anfaal, 8:29)

Orang yang bertakwa ialah orang yang berhati-hati di dalam menjalani kehidupan, memastikan diri sentiasa melaksanakan suruhan Allah dan meninggalkan apa yang dilarangNya.

Orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa, sebagaimana dinyatakan di dalam Al-Quran (Al-Hujuraat, 49:13). Hakikat ini diulangi oleh baginda Rasulullah s.a.w.:

M19. Dari Abu Hurairah r.a., katanya:

Rasulullah s.a.w. ditanya: "Ya Rasulullah, siapakah yang paling mulia di antara manusia?" Beliau s.a.w. bersabda: "Orang yang paling bertaqwa di antara mereka.”

Mereka berkata: "Bukan ini yang kami tanyakan." Beliau s.a.w. bersabda: "Kalau begitu ia adalah Nabi Yusuf, Nabi Allah, putera Nabi Allah, putera Nabi Allah, putera Khalilullah (Nabi Yusuf bin Nabi Yaakub bin Nabi Ishak bin Nabi Ibrahim iaitu Khalilullah)."

Mereka berkata lagi: "Bukan ini yang kami tanyakan." Beliau s.a.w. kemudiannya bersabda: "Berkenaan keturunan Arab yang kamu tanyakan? Yang paling baik di antara mereka dalam zaman jahiliyah, paling baik pula dalam zaman Islam, apabila mereka memahami (hukum-hukum agama).” (RS69; Bukhari, Muslim)

Kita diseru untuk berhati-hati agar tidak terjerumus dengan dugaan dunia, antaranya ujian wanita.

M20. Dari Abu Said al-Khudri r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya:

"Sesungguhnya dunia ini manis dan indah. Sesungguhnya Allah menguasakan kepada kamu untuk melihat bagaimana kamu berbuat. Maka berhati-hatilah dengan dunia dan berhati-hatilah dengan wanita. Sesungguhnya dugaan awal pada Bani Israil ialah melalui wanita." (RS70; Muslim)

Saturday 17 July 2010

Mutiara 5 : Muraqabah (Berwaspada)

(Bab 5 : Muraqabah, Hadits RS60-RS68)

Firman Allah s.w.t.:

“Yang melihat kamu ketika kamu berdiri (untuk sembahyang), dan (melihat pula) perubahan gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud.” (Asy-Syu’ara, 26:218-219)

“Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada.” (Al-Hadiid, 57:4)

“Sesungguhnya bagi Allah tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi di bumi dan tidak (pula) di langit.” (Ali Imran, 3:5)

“Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi.” (Al-Fajr, 89:14)

“Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati.”(Al-Mu’min, 40:19)

Kita sentiasa berada di dalam pengawasan Allah s.w.t., samada di tengah ramai maupun ketika berseorangan. Kita tidak akan terlepas dari pandanganNya. Keyakinan ini membuatkan seseorang sentiasa berwaspada dari melakukan sebarang dosa walau di mana ia berada.

M15. Dari Abu Dzar Jundub bin Junaadah dan Abu Abdul Rahman Muaz bin Jabal r.a. daripada Rasulullah s.a.w., sabdanya:

"Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada. Susulilah kejahatan dengan kebaikan yang akan menghapuskan kejahatan. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik." (RS61; Tarmizi)

M16. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: Pada suatu hari saya berada di belakang Nabi s.a.w. (di atas kenderaan), lalu baginda bersabda:

"Wahai budak! Sesungguhnya saya mahu mengajar kamu beberapa kalimat: Peliharalah Allah (memelihara perintah dan laranganNya), Dia akan memelihara kamu. Peliharalah Allah, pasti kamu akan dapati Dia bersamamu. Apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah dan apabila kamu meminta pertolongan, mintalah pertolongan itu kepada Allah.

Ketahuilah! Sesungguhnya jika umat manusia berhimpun untuk memberikan manfaat kepadamu dengan sesuatu, mereka tidak akan dapat memberikan manfaat itu melainkan dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu. Dan jika mereka berhimpun untuk memberikan mudarat kepadamu dengan sesuatu, mereka tidak akan dapat memberikan mudarat itu, melainkan dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah ke atas kamu. Pena telah diangkat dan lembaran kertas telah kering." (RS62; Tarmizi)

Dalam riwayat selain Tarmizi disebutkan:

"Peliharalah Allah, kamu akan mendapatiNya di hadapanmu. Kenalilah (ingatilah) Allah di waktu kamu senang, Dia akan kenali (ingat) kamu di waktu kamu susah. Ketahuilah! Sesuatu yang ditetapkan tidak mengena kamu, tidak akan menimpamu dan sesuatu yang ditetapkan menimpa kamu, kamu tidak akan dapat terlepas darinya. Ketahuilah! Sesungguhnya pertolongan itu beserta kesabaran dan kelapangan beserta kesukaran. Sesungguhnya beserta kesukaran adalah kemudahan."

Kadang-kadang kita mengambil mudah sebahagian dosa yang dilakukan, walhal generasi pertama umat Islam di zaman Rasulullah s.a.w. memandangnya serius.

M17. Dari Anas r.a., katanya:

"Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan yang lebih remeh pada pandangan kamu dari sehelai rambut, padahal kami di zaman Rasulullah s.a.w. menganggapnya dosa-dosa yang merosakkan." (RS63; Bukhari)

Ini berupa teguran sahabat Nabi yang paling akhir meninggal dunia, Anas bin Malik, kepada tabien yang bersamanya. Apatah lagi kita.

Selain dari meninggalkan perbuatan yang membawa dosa, kita juga diseru untuk meninggalkan perbuatan yang sia-sia, yang tidak membawa kemanfaatan di akhirat kelak.

M18. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sebahagian daripada kebaikan keislaman seseorang ialah meninggalkan apa-apa yang tidak memberikan kemanfaatan kepadanya.” (RS67; Tarmizi)

Tuesday 13 July 2010

Mutiara 4 : Benar

(Bab 4 : Benar, Hadits RS54-RS59)


Firman Allah s.w.t.:

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar.” (At-Taubah, 9:119)

“Laki-laki yang benar dan perempuan yang benar.” (Al-Ahzab, 33:35)

“Jika mereka benar (imannya) terhadap Allah, nescaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka.” (Muhammad, 47:21)

Hadits pertama yang dipilih oleh Imam Nawawi dalam bab ini ialah berkenaan dengan benar di segi perkataan.

M12. Dari Ibnu Mas'ud r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:

"Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang membiasakan diri dengan berkata benar sehingga dicatatkan di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya berdusta itu membawa kepada kekejian dan sesungguhnya kekejian itu membawa kepada neraka. Sesungguhnya seseorang membiasakan diri dengan berdusta sehingga dicatatkan di sisi Allah sebagai seorang pendusta." (RS54; Bukhari, Muslim)

Seorang muslim hendaklah membiasakan diri dengan bercakap benar dalam pertuturan. Orang-orang lain tidak meragui kebenaran apa yang diperkatakannya. Malah di sisi Allah, beliau mendapat gelaran ‘siddiq’, orang yang benar. Sebaliknya berlaku kepada orang yang suka berbohong. Kesan dari berkata benar dan berdusta tentulah berlawanan.

M13. Dari Abu Muhammad Hasan bin Ali bin Abu Thalib r.a., katanya: Saya menghafaz dari Rasulullah s.a.w.:

"Tinggalkan apa-apa yang meragukanmu kepada apa-apa yang tidak meragukan. Sesungguhnya kebenaran membawa ketenangan dan dusta menimbulkan keraguan." (RS55; Tarmizi)

Seorang muslim juga hendaklah benar dalam keazamannya. Beliau beroleh ganjaran dari Allah sekiranya bersungguh-sungguh untuk beramal walau tidak dapat melakukannya.

M14. Dari Abu Tsabit dan disebutkan Abu Said juga disebutkan Abu Walid, Sahl bin Hanif r.a., dan dia ahli Badar, bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang benar-benar meminta mati syahid kepada Allah Taala, Allah akan menyampaikannya ke tingkat orang-orang yang mati syahid, walaupun ia mati di atas tempat tidurnya." (RS57; Muslim)

Saturday 10 July 2010

Mutiara 3 : Sabar

(Bab 3 : Sabar, Hadits RS25-RS53)

Sifat sabar merupakan sifat mahmudah (terpuji) yang paling banyak disebutkan dalam Al-Quran. Imam Nawawi memasukkan enam daripada ayat-ayat tersebut di dalam bab ini. Antaranya:

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah, 2:155)

“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu; dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu.” (Muhammad, 47:31)

Ayat-ayat lain ialah Ali Imran, 3:200; Az-Zumar, 39:10; Asy-Syuura, 42:43 dan Al-Baqarah, 2:153.

Terdapat banyak hadits berkenaan dengan sabar yang dikemukakan oleh Imam Nawawi dalam bab ini. Antaranya:

M6. Dari Abu Said Saad bin Malik bin Sinan al-Khudri r.a., ada beberapa orang dari kaum Anshar meminta-minta kepada Rasulullah s.a.w., lalu baginda memberinya, kemudian mereka meminta lagi dan beliau pun memberikannya sehingga habis apa yang ada pada baginda. Setelah baginda memberikan semua yang ada di tangannya, baginda bersabda kepada mereka:

"Apa sahaja kebaikan yang ada padaku, aku tidak akan sembunyikan dari kamu. Sesiapa yang menjaga kesopanan (dari meminta-minta), Allah akan memelihara kesopanannya, dan sesiapa yang merasa cukup, Allah akan mencukupkannya, dan sesiapa yang berlatih sabar, Allah akan menyabarkannya. Tiada seorang pun yang mendapat kurniaan yang lebih baik dan lebih luas dari kesabaran." (RS26; Bukhari, Muslim)

M7. Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Amat mengkagumkan keadaan seorang mukmin. Sesungguhnya semua keadaan baik baginya. Sifat ini tidak mungkin terdapat melainkan pada seorang mukmin. Jika ia beroleh kesenangan, ia bersyukur maka kesyukuran itu adalah kebaikan baginya. Jika ia ditimpa kesusahan, ia bersabar maka kesabaran itu adalah kebaikan baginya." (RS27; Muslim)

M8. Dari Abu Said dan Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:

"Tidaklah menimpa seorang muslim dari kesusahan, penyakit, kebimbangan, kesedihan, kesakitan dan kerisauan malahan duri yang menusuknya, melainkan Allah menebus dosa dengan apa yang menimpanya itu.” (RS37, Bukhari, Muslim)

Rasulullah s.a.w. dan para nabi yang lain menunjukkan tauladan yang tinggi dalam bersabar, untuk kita sama-sama contohi.

M9. Dari Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas'ud r.a. katanya: "Seakan-akan aku masih melihat Rasulullah s.a.w. menceritakan tentang seorang nabi dari para nabi shalawatullah wa salaamuhu alaihim. Beliau tercedera dipukul kaumnya. Sambil mengusap darah dari wajahnya beliau mengucapkan: "Ya Allah! Ampunkanlah kaumku, sesungguhnya mereka tidak tahu." (RS36; Bukhari, Muslim)

Hadits ini menunjukkan kesabaran seorang nabi a.s. dalam berhadapan dengan tentangan kaumnya dalam berdakwah. Kaumnya itu bukan setakat menolak dakwahnya, bukan hanya mencaci, tetapi lebih jauh dari itu, mereka mencederakan nabi tersebut. Balasan nabi terhadap penganiayaan itu bukanlah dengan membalas dengan balasan yang sebanding, bukan mencerca mereka, bukan juga mendoakan keburukan menimpa kaumnya, tetapi berdoa supaya Allah mengampuni mereka. Hadits ini mengajar pendakwah supaya bersabar dalam berhadapan dengan reaksi negatif dari orang yang mereka dakwahkan. Mungkin hari ini mereka menolak, besok hari tidak semestinya terus begitu.

Para sahabat dan umat Islam yang lain juga diajar untuk bersabar dalam menunggu kejayaan dakwah mereka. Hadits seterusnya mengajarkan:

M10. Dari Abu Abdullah Khabbab bin Al-Aratti r.a., katanya: "Kami mengadu kepada Rasulullah s.a.w. pada masa baginda berbaring di bawah bayangan kaabah berbantalkan serbannya. Kami berkata: “Apakah anda tidak memohonkan pertolongan untuk kami? Apakah and tidak mendoakan kami?" Baginda bersabda:

"Orang-orang sebelum kamu, ada yang ditanam hidup-hidup, ada yang digergaji dari atas kepalanya sehingga terbelah dua, ada yang dikupas kulitnya dengan sisir besi yang mengenai daging dan tulangnya. Yang sedemikian itu tidak memalingkan ia dari agamanya. Demi Allah! Allah akan menyempurnakan urusan ini, sehingga seorang pengembara dari Shan'a ke Hadhramaut tidak takut melainkan Allah dan serigala atas biri-birinya. Tetapi kamu semua tergesa-gesa." (RS41; Bukhari)
Dalam riwayat lain: "Baginda berbaring berbantalkan serbannya, sedang kami telah disiksa dengan teruk oleh kaum musyrikin."

Rasulullah s.a.w. juga menceritakan dalam satu hadits (RS30) tentang kesabaran seorang pemuda dalam mempertahankan keimanannya sehingga sanggup mati dibunuh oleh seorang raja. Kesabaran beliau telah dicontohi oleh kaumnya yang beriman kemudian sanggup mengorbankan jiwa mereka sendiri dengan terjun ke dalam parit berapi. Kisah ini juga diabadikan oleh Allah s.w.t. di dalam surah Al-Buruuj.

Satu lagi aspek kesabaran yang diketengahkan oleh Imam Nawawi dalam bab sabar ini ialah menahan marah.

M11. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Bukanlah ukuran kekuatan seseorang itu dengan bergelut tetapi ukuran kekuatannya ialah bagaimana ia mengawal diri ketika marah.” (RS45; Bukhari, Muslim)

Salah satu cara untuk mengawal kemarahan ialah sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah saw dalam satu hadits (RS46) iaitu berta’awwuz, mengucapkan ‘A’uzubillahi minasy-syaithaanir-rajiim’.

Tuesday 29 June 2010

Mutiara 2 : Taubat

(Bab 2 : Taubat, Hadits RS13-RS24)


Imam Nawawi memulakan bab ini menulis, berkata ulama:

“Bertaubat dari setiap dosa itu wajib. Taubat seorang hamba dengan Allah Taala, tidak berkait dengan hak manusia lain, mempunyai tiga syarat:

1. Berhenti serta-merta dari melakukan maksiat.
2. Menyesal kerana melakukannya.
3. Berazam untuk tidak mengulanginya lagi.

Jika maksiat itu berkait dengan hak manusia, syaratnya ada empat termasuk tiga syarat di atas dan menyelesaikan urusannya dengan orang yang berhak. Jika ia berkait dengan harta dan seumpamanya, harus mengembalikannya. Jika berkait dengan sumpah, tuduhan dan seumpamanya, maka harus meminta maaf. Jika ia berkaitan dengan mengumpat, maka ia harus meminta dihalalkan.

Adalah wajib bertaubat dari semua dosa. Jika seseorang bertaubat hanya dari sebahagian dosa sahaja maka yang diampunkan hanya itu manakala dosa lain tidak.”

Imam Nawawi kemudiannya mengemukakan tiga ayat Al-Quran berkenaan dengan taubat:

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (An-Nuur, 24:31)

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya.” (Huud, 11:3)

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya.” (At-Tahrim, 66:8)

Orang yang beriman tidak terkecuali dari melakukan dosa di saat-saat kelemahannya. Apa yang membezakannya dari orang lain ialah ia segera kembali kepada Allah. Ia sedar dosa tersebut berupa sesuatu yang boleh mengakibatkan kemurkaan Allah swt, sesuatu yang tidak wajar dilakukan oleh seseorang yang mengaku beriman. Ia tahu maksiat yang dilakukan boleh menjauhkan dirinya dari Allah. Orang yang beriman seterusnya insaf, memohon keampunan Allah dan bertaubat dari dosa yang dilakukan.

Rasulullah saw telah menunjukkan contoh tauladan yang sebaik-baiknya dalam hal ini.

M4. Dari Abu Hurairah r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Demi Allah, sesungguhnya saya beristighfar (meminta ampun) kepada Allah dan bertaubat kepadaNya lebih dari tujuh puluh kali dalam sehari." (RS13; Bukhari)

Baginda adalah seorang yang maksum, bersih dari dosa-dosa. Namun Rasulullah beristighfar dan bertaubat lebih dari 70 kali dalam sehari.

Allah sentiasa membuka pintu keampunannya di malam hari untuk hambaNya yang melakukan dosa di waktu siang, dan membuka pintu keampunan di waktu siang untuk hambaNya yang melakukan dosa di malam hari (RS16). Taubat akan terus diterima selagi roh masih belum sampai di kerongkongnya (RS18), selagi matahari belum terbit di sebelah barat (RS17).

Allah swt suka menerima taubat para hambaNya yang mengakui kelemahan diri dan menagih keampunanNya.

M5. Dari Abu Hamzah iaitu Anas bin Malik al-Anshari r.a., pelayan Rasulullah s.a.w., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Allah lebih gembira dengan taubat hambaNya di antara kamu melebihi kegembiraan seseorang yang secara tiba-tiba menemukan kembali untanya yang telah hilang di padang pasir yang tandus." (RS15; Bukhari, Muslim)

Dalam riwayat Muslim disebutkan demikian:

"Allah amat gembira dengan taubat hambaNya ketika ia bertaubat kepadaNya melebihi kegembiraan seseorang dari kamu yang menunggang kenderaan(unta) di padang pasir yang tandus, kemudian kenderaan yang membawa bekalan makanan dan minumannya itu hilang. Ia berputus-asa. Ia berbaring di bawah naungan sebuah pohon dalam keadaan kecewa kerana kehilangan kenderaan tersebut. Tiba-tiba kenderaannya itu berdiri di sisi, lalu ia memegang tali pengikatnya dan berkata dalam keadaan yang amat gembira: ‘Ya Allah, Engkau adalah hambaku dan aku adalah TuhanMu’. Ia tersasul kerana terlalu gembira."

Di dalam bab ini juga Imam Nawawi membawa hadits yang menceritakan bagaimana seorang yang membunuh 99 jiwa menjadi insaf dan mahu bertaubat. Beliau kemudiannya membunuh seorang rahib yang memberitahunya bahawa taubatnya tidak akan diterima. Seorang alim kemudian menasihatkan beliau untuk pergi ke satu tempat di mana orang-orang beribadat kepada Allah. Malaikat Rahmat, bukannya Malaikat Azab, menguruskan roh beliau apabila beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke sana. Maksudnya taubat beliau diterima (RS20).

Kisah Kaab bin Malik yang tidak pergi ke Ghazwah Tabuk juga dimasukkan dalam bab Taubat ini. Ayat 117-119 dari Surah At-Taubah mengesahkan bahawa Allah menerima taubat beliau dan dua orang sahabat lagi (RS21).

Begitu juga hadits berkenaan dengan seorang perempuan yang dihukum rejam dikemukakan. Rasulullah saw menegaskan kepada Saidina Umar bahawa taubat perempuan tersebut mencukupi kalau dibahagikan kepada 70 orang penduduk Madinah (RS22).

Ketiga-tiga kisah tersebut menunjukkan betapa Maha Pengampun Allah swt di dalam menerima taubat hamba-hambaNya walau sebesar mana dosa mereka sekalipun. Kita tidak seharusnya berputus-asa dari rahmat Allah bila melakukan sebarang maksiat. Allah akan mengampuni semua dosa sekiranya kita bersungguh-sungguh dalam bertaubat kepadaNya.

Tuesday 22 June 2010

Mutiara 1 : Ikhlas

(Bab 1 : Ikhlas, Hadits RS1-RS12)

Imam Nawawi memulakan kitab Riadhus Shalihin ini dengan bab Ikhlas, satu topik penting yang menjadi asas kepada penerimaan amal seseorang. Tanpa keikhlasan, amalan-amalan yang dibentangkan di dalam bab-bab yang seterusnya tidak bernilai.

Bab ini, sebagaimana sebahagian bab-bab lain, dimulakan dengan beberapa ayat Al-Quran. Ayat Al-Quran yang pertama yang diketengahkan ialah:

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan) ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus.” (Al-Bayyinah, 98 : 5)

Ayat-ayat lain yang dimasukkan oleh Imam Nawawi dalam bab ini ialah Al-Hajj, 22:37 dan Ali Imran, 3:29.

Beliau kemudiannya mengemukakan hadits yang pertama dalam bab yang pertama ini iaitu:

M1. Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Umar bin Al-Khattab r.a katanya : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda :

Hanyasanya amalan-amalan itu adalah dengan niat dan hanyasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia perolehi atau kerana seorang perempuan yang ingin ia nikahi, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang ia berhijrah kepadanya.” (RS1; Bukhari, Muslim)

Hadits pembukaan kitab Riadhus Shalihin ini juga merupakan hadits pertama kepada kitab Arbain Nawawi yang masyhur itu, begitu juga kitabnya Al-Azkaar.

Samada sesuatu amalan bakal mendapat ganjaran dari Allah bergantung kepada niat seseorang. Sekiranya ia beramal ikhlas semata-mata untuk mendapat keredaan Allah dan pahala dariNya, tentulah itu yang akan diperolehinya. Sebaliknya kalau ia beramal untuk mendapat pujian manusia, kemegahan diri atau untuk maksud rendahan yang lain, keredaan Allah dan ganjaranNya tidak mungkin dicapai dengan amalan tersebut.

Apa yang bernilai di sisi Allah swt ialah amal soleh dan keikhlasan dalam beramal.

M2. Dari Abu Hurairah r.a., katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya Allah Taala tidak melihat kepada jasad atau rupa kamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hati dan amalan kamu." (RS7; Muslim)

Kita dapat lihat kemurahan Allah swt dalam mengganjari para hambaNya dalam hadits:

M3. Dari Abdullah bin Abbas bin Abdul Mutalib, r.a. dari Rasulullah s.a.w. dalam apa yang diriwayatkan dari Tuhannya Tabaraka wa Taala (Hadis Qudsi), bersabda:

"Sesungguhnya Allah mencatat hasanah (kebaikan) dan sayyiah (kejahatan), kemudian menjelaskan keduanya.

Sesiapa yang bercadang untuk mengerjakan kebaikan tetapi tidak jadi melakukannya, Allah Tabaraka wa Taala mencatat untuknya satu hasanah yang sempurna di sisiNya. Sesiapa yang bercadang untuk mengerjakan kebaikan kemudian melakukannya, Allah mencatat sepuluh hingga tujuh ratus hasanah malah lebih dari itu.

Seterusnya, sesiapa bercadang untuk mengerjakan kejahatan tetapi tidak jadi melakukannya Allah mencatat untuknya satu hasanah yang sempurna di sisiNya dan sesiapa yang mahu mengerjakan kejahatan kemudian melakukannya, Allah mencatat satu sayyiah sahaja." (RS11; Bukhari, Muslim)

Seseorang beroleh satu hasanah dengan niat sahaja, samada berniat melakukan kebaikan atau kejahatan tetapi tidak dapat melakukannya di atas sebab-sebab yang sesuai. Sekiranya ia dapat melakukan amal kebaikan yang diniatkannya itu, ia mendapat ganjaran hasanah yang berganda-ganda.

Amalan soleh yang dilakukan dengan ikhlas juga dapat menjadi sarana untuk memperkuatkan doa. Dalam hadits terakhir dalam bab ini, RS12, Rasulullah saw menceritakan bagaimana tiga orang pemuda terperangkap di dalam sebuah gua berdoa dan bertawassul dengan amalan yang mereka pernah lakukan. Hasilnya mereka diselamatkan dari gua tersebut.

Wednesday 2 June 2010

Intro 5 : Mukadimah Riadhus Shalihin

Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Maha Perkasa, Maha Mulia lagi Maha Pengampun. Dia yang menukarkan malam menjadi siang dan sebaliknya, sebagai peringatan kepada orang-orang yang berfikir. Dia-lah yang menyedarkan orang-orang yang dipilih di antara makhlukNya supaya tidak leka dengan kesenangan dunia tetapi tekun mematuhiNya, sentiasa menggunakan akal fikiran yang benar dan sentiasa mencari bimbingan dan petunjuk.

Dia sentiasa memberi pertolongan kepada mereka untuk sentiasa taat kepadaNya serta mampu untuk meninggalkan perbuatan-perbuatan dosa dan memberi pertolongan kepada mereka bagi menambah bekal untuk kebahagiaan di Hari Kemudian. Ia juga menghindarkan mereka dari apa yang menimbulkan kemurkaan Allah dan apa-apa yang menyebabkan kebinasaan diri serta memelihara mereka dari tidak mudah terumbang ambing dengan perubahan keadaan dan masa.

Aku memuji Allah sepenuh hati yang meliputi pengertian syukur dan puja. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah yang belas kasih, Maha Mulia, Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Aku bersaksi bahawa junjungan kita Nabi Muhammad hamba Allah dan pesuruhNya, serta kekasihNya, yang memimpin ke jalan agama yang lurus.

Semoga selawat Allah dan salamNya tetap ke atas Nabi Muhammad, nabi-nabi lain, keluarga dan sahabat mereka serta orang-orang yang soleh.

Kemudian daripada itu, Allah swt berfirman:

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan.” (Adz-Dzaariyaat, 51 : 56&57)

Ayat ini menjelaskan bahawa manusia diciptakan untuk beribadat. Dari itu sudah selayaknya mereka memperhatikan tujuan mereka diciptakan dan meninggalkan tipu daya dunia dengan zuhud, sebab dunia tidak akan kekal. Dunia hanya sebagai batu loncatan, bukan tempat tinggal dan kesenangan.

Dengan sebab itu orang yang sihat fikiran tidak tertipu oleh kesibukan dunia, untuk melakukan kewajipan ibadat.

Firman Allah:

“Sesungguhnya perumpamaan kehidupan duniawi itu, adalah seperti air (hujan) yang Kami turunkan dari langit, lalu tumbuhlah dengan suburnya kerana air itu tanam-tanaman bumi, di antaranya ada yang dimakan manusia dan binatang ternak. Hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya, dan memakai (pula) perhiasannya, dan pemilik-pemiliknya mengira bahawa mereka pasti menguasainya, tiba-tiba datanglah kepadanya azab Kami di waktu malam atau siang, lalu Kami jadikan (tanaman-tanamannya) laksana tanam-tanaman yang sudah disabit, seakan-akan belum pernah tumbuh kelmarin. Demikianlah Kami menjelaskan tanda-tanda kekuasaan (Kami) kepada orang-orang yang berfikir.” (Yunus, 10 : 24)

Banyak ayat-ayat yang serupa dengan ayat ini. Sungguh tepat kata pujangga:

Sesungguhnya ada hamba-hamba Allah yang bijak.
Mereka menceraikan dunia kerana takut fitnah.
Mereka renungkan, dan ketika itu mengerti;
Bahawa dunia bukan tempat tinggal untuk hidup abadi.
Mereka anggap dunia ini bagaikan samudera;
Mereka menggunakan amal soleh sebagai bahteranya.

Setelah nyata sifat dunia ini, juga kejadian diri sendiri, wajarlah bagi seorang mukallaf menempuh jalan yang baik dan mengikuti jejak orang-orang yang soleh. Sebaik-baik jalan yang harus ditempuhi ialah jalan tuntunan-tuntunan adab yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad saw.

Firman Allah:

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa.” (Al-Maa-idah, 5 : 2)

Hadits sahih dari Rasulullah saw:

"Allah sentiasa memberi pertolongan kepada hambaNya selama hamba itu menolong saudaranya." (Muslim)

Dan sabda baginda saw:

“Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan, ia akan mendapat pahala sebanyak yang diperolehi orang yang mengerjakannya.” (Muslim)

“Sesiapa yang mengajak kepada kebaikan, maka ia mendapat pahala sebanyak pahala pengikutnya, dan yang demikian itu tidak mengurangi pahala pengikut-pengikut itu sedikit pun.” (Muslim)

Dan sabda Nabi saw kepada Ali bin Abi Thalib:

“Demi Allah, apabila Allah memberi hidayat kepada seseorang kerana ajaranmu, maka itu lebih baik bagimu daripada kekayaan ternakan yang merah-merah.” (Bukhari, Muslim)

Saya merasa terpanggil untuk menyusun sebuah kitab yang berisi hadits-hadits yang sahih yang mencakupi bagaimana caranya seseorang itu dapat sampai ke alam akhirat dengan selamat, serta bagaimana caranya seseorang itu dapat sempurna segala peri lakunya baik lahir maupun batin. Hadits-hadits yang saya kumpulkan itu meliputi anjuran, ancaman dan petunjuk-petunjuk untuk mencapai kesempurnaan seperti hadits zuhud, latihan jiwa, pendidikan akhlak, penawar hati dan pemeliharaan jasad, meluruskan penyelewengan-penyelewengan dan lain-lain.

Saya berusaha untuk tidak memasukkan di sini kecuali hadits yang sahih dan semuanya itu saya petik dari kitab-kitab sahih yang sudah masyhur. Sebelum hadits, saya akan beri pendahuluan beberapa ayat Al-Quran. Saya akan tambah sedikit keterangan di mana perlu. Kemudian, bila saya sebut ‘muttafaq alaihi’ pada penghujung hadits, bererti ia diriwayatkan oleh kedua-dua Bukhari dan Muslim.

Saya berharap bila selesai, kitab ini akan menjadi pembimbing bagi orang yang menginginkan kebaikan dan sebagai pencegah dari segala kejahatan dan kebinasaan.

Saya berharap sesiapa yang beroleh manfaat dari kitab ini supaya mendoakan saya, kedua ibubapa saya, guru-guru saya dan semua kaum muslimin.

Kepada Allah Yang Maha Mulia sahajalah saya menyerahkan urusan serta tempat saya menyandarkan diri. Dialah yang mencukupi segala-galanya dan sebaik-baik Zat yang menguasai. Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Bijaksana.

Tuesday 1 June 2010

Intro 4 : Kandungan Riadhus Shalihin 2/2 (draft)

KITAB PAKAIAN

Bab 117 Sunnahnya Mengenakan Pakaian Putih Dan Bolehnya Mengenakan Pakaian Berwarna Merah, Hijau, Kuning, Hitam, Juga Bolehnya Mengambil Pakaian Dari Kapuk, Katun, Rambut, Bulu Dan Lain-lain Lagi Kecuali Sutera

Bab 118 Sunnahnya Mengenakan Baju Gamis

Bab 119 Sifat Panjangnya Gamis, Lobang Tangan Baju, Sarung, Ujung Sorban Dan Haramnya Melemberehkan Sesuatu Dari Yang Tersebut Di Atas Karena Maksud Kesombongan Dan Kemakruhannya likalau Tidak Karena Maksud Kesombongan

Bab 120 Sunnahnya Meninggalkan Yang Tinggi-tinggi — Yakni Yang Terlampau Indah — Dalam Hal Pakaian Karena Maksud Merendahkan Diri

Bab 121 Sunnahnya Bersikap Sedang — Sederhana — Dalam Pakaian Dan Jangan Merasa Cukup Dengan Apa Yang Menyebabkan Celanya Yang Tidak Ada Kepentingan Atau Tidak Ada Tujuan Syara'Untuk Itu

Bab 122 Haramnya Berpakaian Sutera Untuk Kaum Lelaki, Haramnya Duduk Di Atasnya Atau Bersandar Padanya Dan Bolehnya Mengenakannya Untuk Kaum Wanita

Bab 123 Bolehnya Mengenakan Pakaian Sutera Untuk Orang Yang Berpenyakit Gatal-gatal

Bab 124 Larangan Duduk Di Atas Kulit Harimau Dan Naik Di Atas Harimau

Bab 125 Apa Yang Diucapkan likalau Mengenakan Pakaian Baru, Terumpah Dan Sebagainya

Bab 126 Sunnahnya Memulai Pada Anggota Kanan Dalam Mengenakan Pakaian


KITAB KESOPANAN TIDUR

Bab 127 Adab-adab Kesopanan Tidur Dan Berbaring

Bab 128 Bolehnya Bertelentang Atas Tengkuk Leher, Juga Meletakkan Salah Satu Dari Kedua Kaki likalau Tidak Dikhuatirkan Terbukanya Aurat Dan Bolehnya Duduk Dengan Bersila Dan Duduk Ihtiba' — Yakni Duduk Berjongkok Sambil Membelitkan Sesuatu Dari Pinggang Ke Lutut Atau Tangannya Merangkul Lutut

Bab 129 Adab-adab Kesopanan Dalam Majlis Dan Kawan Duduk

Bab 130 Impian Dan Apa-apa Yang Berhubungan Dengan Impian Itu


KITAB BERSALAM

Bab 131 Keutamaan Mengucapkan Salam Dan Perintah Untuk Meratakannya

Bab 132 Kaifiyat Bersalam

Bab 133 Adab-adab Kesopanan Bersalam

Bab 134 Sunnahnya Mengulangi Salam Kepada Orang Yang Berulang Kali Pula Bertemu Dengannya Sekalipun Dalam Waktu Dekat, Seperti la Masuk Lalu Keluar Lalu Masuk Lagi Seketika Itu Ataupun Dihalang-halangi Oleh Pohon Dan Sebagainya Antara Kedua Orang Itu

Bab 135 Sunnahnya Bersalam jikalau Memasuki Rumahnya

Bab 136 Mengucapkan Salam Kepada Anak-anak

Bab 137 Salamnya Orang Lelaki Kepada Isterinya Dan Wanita Yang Menjadi Mahramnya Atau Kepada Orang Lain — Yakni Bukan Isteri Atau Mahram, Seorang Atau Banyak Yang Tidak Dikhuatirkan Timbulnya Fitnah Dengan Mereka Itu. Demikian Pula Salam Kaum Wanita Itu Pada Lelaki Dengan Syarat Tidak Menimbulkan Fitnah

Bab 138: Haramnya Kita Memulai Bersalam Kepada Orang-orang Kafir Dan Caranya Menjawab Salam Kepada Mereka Dan Sunnahnya Mengucapkan Salam Kepada Orang-orang Yang Ada Di Dalam Majlis Yang Di Antara Mereka Ada Kaum Muslimin Dan Kaum Kafirin

Bab 139: Sunnahnya Memberikan Salam Jikalau Berdiri Meninggalkan Majlis Dan Memisahkan Diri Kepada Kawan-kawan Duduknya, Banyak Ataupun Seorang

Bab 140: Meminta Izin Dan Adab-adab kesopananNya

Bab 141: Menerangkan Bahwa Sunnah Hukumnya Apabila Kepada Orang Yang Meminta Izin Ditanyakan: "Siapakah Engkau? Supaya Mengucapkan "Fulan" Dengan Menyebut Nama Dirinya Yang Mudah Dimaklumi, Baik Nama Sendiri Atau Nama Kun-yahnya Dan Kemakruhannya Mengucapkan: "Saya" Dan Yang Seumpamanya

Bab 142: Sunnahnya Mentasymitkan — Mendoakan Agar Dikaruniai Kerahmatan Oleh Allah Dengan Mengucapkan: Yarhamukallah — Kepada Orang Yang Bersin, Jikalau la Memuji Kepada Allah Ta'ala — Yakni Membaca Alhamdulillah — Dan Makruh Mentasymitkannya Jikalau la Tidak Memuji Kepada Allah Ta'ala, Begitu Pula Uraian Tentang Adab-adab Kesopanan Bertasymit, Bersin Dan Menguap

Bab 143: Sunnahnya Berjabatan Tangan Ketika Bertemu Dan Menunjukkan Muka Yang Manis, Juga Mencium Tangan Orang Shalih Dan Mencium Anaknya, Serta Merangkul Orang Yang Baru Datang Dari Bepergian Dan Makruhnya Membungkukkan Badan — Dalam Memberi Penghormatan


KITAB PERIHAL MENINJAU ORANG SAKIT, MENGHANTARKAN JANAZAH, MENYEMBAHYANGINYA, MENGHADHIRI PEMAKAMANNYA, BERDIAM SEMENTARA DI SISI KUBURNYA SESUDAH DITANAMKAN

Bab 144: Meninjau Orang Sakit

Bab 145: Ucapan Yang Dapat Digunakan Untuk Mendoakan Orang Sakit

Bab 146: Sunnahnya Menanyakan Kepada Keluarga Orang Yang Sakit Tentang Keadaan Si Sakit Itu

Bab 147: Apa Yang Diucapkan Oleh Orang Yang Sudan Putus Harapan Dari Hidupnya — Karena Sakitnya Sudah Dirasa Sangat Sekali Dan Tidak Akan Sembuh Lagi

Bab 148 Sunnahnya Wasiat Kepada Keluarga Orang Yang Sakit Dan Orang Yang Melayani Orang Sakit Itu Supaya Berbuat Baik Padanya, Menahan Dan Sabar Pada Apa Yang Menyukarkan Perkaranya, ]uga Wasiat Untuk Kepentingan Orang Yang Sudah Dekat Sebab Kematiannya Dengan Adanya Had Atau Qishash Dan Lain-lain Sebagainya

Bab149 Bolehnya Seseorang Yang Sakit Mengatakan: "Saya Sakit" Atau "Sangat Sakit" Atau "Panas" Atau "Aduh Kepalaku" Dan Lain Sebagainya Dan Uraian Bahwasanya Tidak Ada Kemakruhan Mengatakan Sedemikian Tadi, Asalkan Tidak Karena Timbulnya Kemarahan Dan Menunjukkan Kegelisahan — Sebab Sakitnya Tadi

Bab 150 Mengajar Orang Yang Sudah Hampir Didatangi Oleh Ajal Kematiannya Dengan La llaha Wallah

Bab 151 Apa Yang Diucapkan Ketika Memejamkan Mata orang Mati

Bab 152 Apa Yang Diucapkan Di Sisi Mayit Dan Apa Yang Diucapkan Oleh Orang Yang Ditinggalkan Oleh Mayit

Bab 153 Bolehnya Menangisi Orang Mati Tanpa Nadab - Menghitung-hitung Kebaikan Mayit - Juga Tanpa Suara Keras Dalam Tangisnya Itu

Bab 154 Menahan - Tidak Menyiar-nyiarkah — Sesuatu Yang Tidak Baik Yang Diketahui Dari Seseorang Mayit

Bab155 Menyembahyangi Mayit, Mengantarkannya — Ke Kubur, Menghadhiri Pemakamannya Dan Makruhnya Kaum Wanita Ikut Mengantarkan Janazah-janazah

Bab 156 Sunnahnya Memperbanyakkan Orang Yang Menyembahyangi Janazah Dan Membuat Barisan-barisan Orang-orang Yang Menyembahyangi Itu Menjadi Tiga Deretan Atau Lebih

Bab 157 Apa-apa Yang Dibaca Dalam Shalat Janazah

Bab 158 Menyegerakan Mengubur Janazah

Bab 159 Menyegerakan Mengembalikan Hutangnya Mayit Dan Menyegerakan Dalam Merawatnya, Kecuali Kalau Mati Secara Mendadak, Maka Perlu Dibiarkan Dulu Sehingga Dapat Diyakinkan Kematiannya

Bab 160 Memberikan Nasihat Di Kubur

Bab 161 Berdoa Untuk Mayit Sesudah Dikuburkan Dan Duduk Di Sisi Kuburnya Sebentar Untuk Mendoakannya Serta Memohonkan Pengampunan Untuknya Dan UntukMembaca — Al-Quran

Bab 162 Sedekah Untuk Mayit Dan Mendoakan Padariya

Bab 163 Pujian Orang-orang Pada Mayit

Bab 164 Keutamaan Orang Yang Ditinggal Mati Oleh Anak-anaknya Yang Masih Kecil

Bab 165 Menangis Serta Takut Di Waktu Melalui Kubur-kuburnya Orang-orang Yang Menganiaya - Dirinya Karena Enggan Mengikuti Kebenaran -Dan Tempat Jurunnya Siksa Pada Mereka Itu Serta Menunjukkan Iftiqar Kita Kepada Allah — Yakni Bahwa Kita Amat Memerlukan Bantuan Dan Pertolongannya — Dan Pula Menakut-nakuti Dari Melalaikan Yang Tersebut Di Atas Itu


KITAB ADAB-ADAB KESOPANAN BEPERGIAN

Bab 166 Sunnahnya Keluar Pada Hari Kemis Dan Sunnahnya Pergi Di Permulaan Siang Hari

Bab 167 Sunnahnya Mencari Kawan — Dalam Bepergian — Dan Mengangkat Seorang Di Antara Yang Sama-sama Pergi Itu Sebagai Pemimpin Mereka Yang Harus Diikuti Oleh Peserta-peserta Perjalanan Itu

Bab 168: Adab-adab Kesopanan Perjalanan, Turun, Menginap Dan Tidur Dalam Bepergian, Juga Sunnahnya Berjalan Malam, Belas-kasihan Pada Binatang-binatang Menjaga Kemaslahatan-kemaslahatan
Binatang-binatang Tadi Serta Menyuruh Orang Yang Teledor Memberikan Hak Binatang-binatang Tadi Supaya Memberikan Haknya Dan Bolehnya Naik Di Belakang Di Atas Binatang Kendaraan, Jikalau Binatang Itu Kuat Dinaikki - Sampai Dua Orang

Bab 169: Menolong Kawan

Bab 170: Apa-apa Yang Diucapkan Apabila Seseorang Itu Menaiki Kendaraannya Untuk Bepergian

Bab 171: Takbirnya Seorang Musafir Jikalau Menaiki Tempat Tinggi— Cunung-gunung — Dan Sebagainya Dan Bertasbih Jikalau Turun Ke Jurang Dan Sebagainya Serta Larangan Terlampau Sangat Dalam Mengeraskan Suara Takbir Dan Lain-lain

Bab 172 Sunnahnya Berdoa Dalam Bepergian

Bab 173 Apa Yang Diucapkan Sebagai Doa Apabila Seseorang Itu Takut Kepada Orang-orang Atau Lain-lainnya

Bab 174 Apa Yang Diucapkan Jikalau Seseorang Itu Menempati Suatu Pondokan — Penginapan

Bab 175 Sunnahnya Mempercepatkannya Seorang Musafir Untuk Pulang Ke Tempat Keluarganya, Jikalau Sudah Menyelesaikan Keperluannya

Bab 176 Sunnahnya Datang Di Tempat Keluarganya Di Waktu Siang Dan Makruhnya Datang Di Waktu Malam, Jikalau Tidak Ada Keperluan Penting

Bab 177 Apa Yang Diucapkan Apabila Seseorang Musafir Itu Telah Kembali Dan Apabila Telah Melihat Negerinya

Bab 178 Sunnahnya Orang Yang Baru Datang — Dari Bepergian — Supaya Masuk Masjid Yang Berdekatan Dengan Tempatnya Lalu Bersembahyang Dua Rakaat Di Dalam Masjid Itu

Bab 179 Haramnya Wanita Bepergian Sendirian


KITAB FADHAIL (BERBAGAI FADHILAH ATAU KEUTAMAAN)

Bab 180: Keutamaan Membaca Al-Quran

Bab 181: Perintah Berta'ahud Kepada Al-Quran — Memelihara Dan Membacanya Secara Tetap — Dan Menakut-nakuti Berpaling Daripadanya Karena Kelupaan

Bab 182: Sunnahnya Memperbaguskan Suara Dalam Membaca Al-Quran Dan Meminta Untuk Membacanya Dari Orang Yang Bagus Suaranya Dan Mendengarkan Pada Bacaan Itu

Bab 183: Anjuran Membaca Surat-surat Atau Ayat-ayat Yang Tertentu

Bab 184: Sunnahnya Berkumpul Untuk Membaca - Al-Quran

Bab 185: Keutamaan Berwudhu'

Bab 186: Keutamaan Berazan

Bab 187: Keutamaan Shalat

Bab 188: Keutamaan Shalat Shubuh Dan Ashar

Bab 189: Keutamaan Berjalan Ke Masjid

Bab 190: Keutamaan Menantikan Shalat

Bab 191: Keutamaan Shalat Jamaah

Bab 192 Anjuran Mendatangi Shalat Jamaah Shubuh Dan Isya'

Bab 193: Perintah Menjaga Shalat-shalat Wajib Dan Larangan Keras Serta Ancaman Hebat Dalam Meninggalkannya

Bab 194: Keutamaan Saf Pertama Dan Perintah Menyempurnakan Saf-saf Yang Permulaan Yakni Jangan Berdiri Di Saf Kedua Sebelum Sempurna Saf Pertama Dan Jangan Berdiri Di Saf Ketiga Sebelum Sempurna Saf Kedua Dan Seterusnya, Serta Meratakan Saf-saf Dan Merapatkannya

Bab 195 Keutamaan Shalat-shalat Sunnah Rawaatib Yang Mengikuti Shalat-shalat Fardhu Dan Uraian Sesedikit-sedikit Rakaatnya, Sesempuma-sempurnanya Dan Yang Pertengahan Antara Keduanya

Bab 196: Mengokohkan Sunnahnya Dua Rakaat Shubuh

Bab 197: Meringankan Dua Rakaat Fajar—Sunnah Sebelum Shubuh, Uraian Apa Yang Dibaca Dalam Kedua Rakaat Itu Serta Uraian Perihal Waktunya

Bab 198: Sunnahnya Berbaring Sesudah Mengerjakan Shalat Sunnah Dua Rakaat Fajar — Sebelum Shubuh — Pada Lambung Sebelum Kanan Dan Anjuran Untuk Melakukan Ini, Baikpun Pada Malam Harinya Bersembahyang Tahajjud Atau Tidak

Bab 199: Shalat Sunnah Zuhur

Bab 200: Shalat Sunnah Asar

Bab 201: Shalat Sunnah Maghrib, Sesudah Dan Sebelumnya

Bab 202: Shalat Sunnah Isya' Sesudah Dan Sebelumnya

Bab 203: Shalat Sunnah Jum'ah

Bab 204: Sunnahnya Mengerjakan Shalat-shalat Sunnah Di Rumah, Baikpun Sunnah Rawaatib Atau Lain-lainnya Dan Perintah Berpindah Untuk Bersembahyang Sunnah Dari Tempat Yang Digunakan Bersembahyang Wajib Atau Memisahkan Antara Kedua Shalat Itu Dengan Pembicaraan

Bab 205: Anjuran Melakukan Shalat Witir Dan Uraian Bahwa Shalat Ini Adalah Sunnah Yang Dikokohkan Serta Uraian Mengenai Waktunya

Bab 206: Keutamaan Shalat Dhuha Dan Uraian Perihal Sesedikit-sedikitnya Rakaat Dhuha, Sebanyak-banyaknya Dan Yang Pertengahannya Serta Anjuran Untuk Menjaga Untuk Terus Melakukannya

Bab 207: Bolehnya Melakukan Shalat Dhuha Dari Tingginya Matahari Sampai Tergelincir — Atau Lingsirnya Dan Yang Lebih Utama lalah Dilakukan Ketika Sangatnya Panas Dan Meningginya Waktu Dhuha

Bab 208: Anjuran Melakukan Shalat Sunnah Tahiyatul Masjid - Menghormat Masjid — Dua Rakaat Dan Makruhnya Duduk Sebelum Bersembahyang Dua Rakaat, Di Waktu Manapun Juga Masuknya Masjid Itu Dan Sama Halnya, Apakah Bersembahyang Dua Rakaat Tadi Dengan Niat Tahiyat, Shalat Fardhu, Sunnah Rawaatib Dan Lain-lainnya

Bab 209: Sunnahnya Dua Rakaat Sesudah Wudhu'

Bab 210: Keutamaan Shalat Jum'ah, Kewajibannya, Mandi Untuk Menghadhirinya, Datang Berpagi-pagi Kepadanya, Doa Pada Hari Jum'ah, Membaca Shalawat Nabi Pada Hari Itu, Uraian Perihal Saat Dikabulkannya Doa-doa Dan Sunnahnya Memperbanyak ZikirKepada Allah Ta'ala Sesudah Jum'ah

Bab 211: Sunnahnya Sujud Syukur Ketika Mendapatkan Kenikmatan Yang Nyata Atau Terhindar Dari Bencana Yang Nyata

Bab 212 Keutamaan Bangun Shalat Di Waktu Malam

Bab 213 Sunnahnya Bangun Malam Ramadhan Yaitu Untuk Malam Mengerjakan Shalat Sunnah Tarawih

Bab 214 Keutamaan Mengerjakan Shalat Di Malam Lailatul-Qadri Dan Uraian Perihal Malam-malam Yang Lebih Dapat Diharapkan Menemuinya

Bab 215 Keutamaan Bersiwak — Bersugi — Dan Perkara-perkara Kefitrahan

Bab 216 Mengokohkan Kewajiban Zakat Dan Uraian Tentang Keutamaannya Serta Apa-apa Yang Berhubungan Dengan Zakat Itu

Bab 217 Wajibnya Puasa Ramadhan, Uraian Keutamaan Berpuasa Dan Hal-hal Yang Berhubungan Dengan Puasa Itu

Bab 218 Dermawan Dan Melakukan Kebaikan Serta Memperbanyak Kebagusan Dalam Bulan Ramadhan Dan Menambahkan Amalan Itu Dari Yang Sudah-sudah Apabila Tiba Sepuluh Hari Terakhir Dari Ramadhan Itu

Bab 219: Larangan Mendahului Ramadhan Dengan Puasa Sesudah Pertengahan Sya'ban, Melainkan Bagi Orang Yang Mempersambungkan Dengan Hari-hari Yang Sebelumnya Atau Tepat Pada Kebiasaan Yang
Dilakukannya, Misalnya Bahwa Kebiasaannya Itu lalah Berpuasa Hari Senin Dan Kemis Lalu Bertepatan Dengan Itu

Bab 220 Apa Yang Diucapkan Di Waktu Melihat Bulan Sabit Yakni Rukyatul Hilal

Bab 221 Keutamaan Bersahur Dan Mengakhirkannya Selama Tidak Takut Menyingsingnya Fajar

Bab 222: Keutamaan Menyegerakan Berbuka Dan Apa Yang Digunakan Untuk Berbuka Itu Serta Apa Yang Diucapkan Setelah Selesai Berbuka

Bab 223: Perintah Kepada Orang Yang Berpuasa Supaya Menjaga Lisan Dan Anggotanya Dari Perselisihan Dan Saling Bermaki-makian Dan Sebagainya

Bab 224: Berbagai masalah dalam berpuasa

Bab 225: Keutamaan Berpuasa Dalam Bulan Muharram, Sya'ban Dan Bulan-bulan YangMulia - Asyhurul Hurum

Bab 226: Keutamaan Berpuasa Dan Lain-lain Dalam Hari-hari Sepuluh Pertama Dari Bulan Zulhijjah

Bab 227: Keutamaan Berpuasa Pada Hari Arafah,'Asyura Dan Tasu'a

Bab 228: Sunnahnya Berpuasa Enam Hari Dari Bulan Syawal

Bab 229: Sunnahnya Berpuasa Pada Hari Senin Dan Kemis

Bab 230: Sunnahnya Berpuasa Tiga Hari Dalam Setiap Bulan

Bab 231: Keutamaan Orang Yang Memberi Makan Buka Kepada Orang Yang Berpuasa, Keutamaan Orang Berpuasa Yang Dimakan Makanannya Di Sisinya Dan Doanya Orang Yang Makan Kepada Orang Yang Makanannya Dimakan Di Sisinya Itu


KITAB ITIKAF

Bab 232: I'tikaf


KITAB HAJI

Bab 233 Haji


KITAB JIHAD

Bab 234 Jihad

Bab 235: Uraian Perihal Kelompok Golongan Orang-orang Yang Dapat Disebut Mati Syahid Dalam Pahala Akhirat Dan Mereka Ini Wajib Dimandikan Dan Disembahyangi, Berbeda Dengan Orang Yang Terbunuh Dalam Berperang Melawan Kaum Kafirin

Bab 236: Keutamaan Memerdekakan Hamba sahaya

Bab 237: Keutamaan Berbuat Baik Kepada Hamba sahaya

Bab 238: Keutamaan Hamba sahaya Yang Menunaikan Hak Allah Ta'ala Dan HakTuannya

Bab 239: Keutamaan Beribadat Dalam Keadaan Penuh Kekacauan Yaitu Percampur-bauran Dan Timbulnya Berbagai Fitnah Dan Sebagainya

Bab 240: Keutamaan Bermurah Hati Dalam Berjual-beli, Mengambil Dan Memberi, Bagusnya Menunaikan Hak Yang Menjadi Tanggungannya — Yakni Mengembalikan Hutang, Bagusnya Meminta Haknya — Yakni Menagih, Memantapkan Takaran Dan Timbangan, Larangan Mengurangi Timbangan, Juga Keutamaan Memberi Waktu Bagi Seseorang Yang Kecukupan Kepada Orang Yang Kekurangan — Dalam Mengembalikan Hutangnya - Serta Menghapuskan Samasekali - Akan Hutang - Orang Yang Kekurangan Itu


KITAB ILMU

Bab 241 Ilmu pengetahuan


KITAB MEMUJI DAN BERSYUKUR KEPADA ALLAH TA'ALA

Bab 242 Memuji Dan Bersyukur Kepada Allah Ta'ala


KITAB SHALAWAT KEPADA RASULULLAH S.A.W.

Bab 243 Bacaan Selawat kepada Rasulullah s.a.w


KITAB BERBAGAI ZIKIR

Bab 244 Keutamaan Zikir Dan Anjuran Mengerjakannya

Bab 245 Berzikir Kepada Allah Ta'ala Dengan Berdiri, Duduk, Berbaring Berhadas, Sedang Junub Dan Haidh, Kecuali Al-Quran, Maka Tidak Halal Bagi Orang Yang Sedang Junub Atau Haidh

Bab 246 Apa Yang Diucapkan Ketika Hendak Tidur Dan Bangun Tidur

Bab 247 Keutamaan Berhimpun Untuk Berzikir Dan Mengajak-ajak Untuk Menetapinya Dan Larangan Memisahkan Diri Daripadanya Kalau Tanpa Uzur

Bab 248 Zikir Di Waktu Pagi Dan Sore

Bab 249 Apa-Apa yang diucapkan ketika hendak tidur


KITAB DOA-DOA

Bab 250 Doa-doa

Bab 251 Keutamaan Berdoa Di Luar Adanya Orang Yang Didoakan

Bab 252 Beberapa Masalah Dari Hal Doa

Bab 253 Karamat-karamatnya Para Waliullah Dan Keutamaan Mereka


KITAB PERKARA-PERKARA YANG TERLARANG MELAKUKANNYA

Bab 254: Haramnya Mengumpat Dan Perintah Menjaga Lisan

Bab 255: Haramnya Mendengar Kata Umpatan — Ghibah — Dan Menyuruh Kepada Orang Yang Mendengar Umpatan Yang Diharamkan Itu Supaya Menolaknya Dan Mengingkari — Tidak Menyetujui — Kepada Orang Yang Mengucapkannya. Jikalau Tidak Kuasa Ataupun Orang Tadi Tidak Suka Menerima Nasihatnya, Supaya la Memisahkan Diri Dari tempat Itu Jikalau Mungkin la Berbuat Demikian

Bab 256: Uraian Perihal Ghibah — Mengumpat — Yang Dibolehkan

Bab 257: Haramnya Mengadu Domba Yaitu Memindahkan Kata-kata Antara Para Manusia Dengan Maksud Hendak Merusakkan

Bab 258: Larangan Memindahkan Kata-kata Atau Pembicaraan Orang-orang Kepada Para Penguasa Negara, Jikalau Tidak Didorong Oleh Sesuatu Keperluan Seperti Takutnya Timbulnya Kerusakan DanLain-lain

Bab 259: Celanya Orang Yang Bermuka Dua - Kemunafikan

Bab 260: Haramnya Berdusta

Bab 261: Uraian Perihal Dusta Yang Dibolehkan

Bab 262: Memiliki Ketetapan Dalam Apa Yang Diucapkan Atau Apa Yang Diceriterakan

Bab 263: Uraian Kesangatan Haramnya Menyaksikan Kepalsuan

Bab 264: Haramnya Melaknat Diri Seseorang Atau Terhadap Binatang

Bab 265: Bolehnya Melaknati Kepada Orang-orang Yang Mengerjakan Kemaksiatan Tanpa Menentukan Perorangannya

Bab 266: Haramnya Memaki Orang Islam Tanpa Hak (Kebenaran)

Bab 267: Haramnya Memaki-maki Orang-orang Mati Tanpa Adanya Hak (Kebenaran) Dan Kemaslahatan Syariat

Bab 268: Larangan Menyakiti

Bab 269: Larangan Saling Benci-membenci, Putus-memutuskan — Ikatan Persahabatan — Dan Saling Belakang-membelakangi — Tidak Sapa-menyapa —

Bab 270: Haramnya Hasad - Dengki - Yaitu Mengharapkan Lenyapnya Sesuatu Kenikmatan Dari Pemiliknya, Baikpun Yang Berupa Kenikmatan Urusan Agama Atau Urusan Keduniaan

Bab 271: Larangan Menyelidiki Kesalahan Orang Serta Mendengarkan Pada Pembicaraan Yang Orang Ini Benci Kalau la Mendengarnya

Bab 272 Larangan Mempunyai Prasangka Buruk Kepada Kaum Muslimin Yang Tanpa Adanya Dharurat

Bab 273 Haramnya Menghinakan Seorang Muslim

Bab 274 Larangan Menampakkan Rasa Gembira Karena Adanya Bencana Yang Mengenai Seorang Muslim

Bab 275 Haramnya Menodai Nasab — Keturunan — Yang Terang Menurut Zahirnya Syara'

Bab 276 Larangan Mengelabui Dan Menipu

Bab 277 Haramnya Bercidera — Tidak Menepati Janji

Bab 278 Larangan Mengundat-undat — Yakni Membangkit-bangkitkan Sesuatu Pemberian Dan Sebagainya

Bab 279 Larangan Berbangga Diri Dan Melanggar Aturan

Bab 280 Haramnya Meninggalkan Bercakap - Yakni Tidak Sapa-menyapa -Antara Kaum Muslimin Lebih Dari Tiga Hari Kecuali Karena Adanya Kebid'ahan Dalam Diri Orang Yang Ditinggalkan Bercakap Tadi — Yakni Yang Tidak Disapa — Atau Karena Orang Itu Menampakkan Kefasikan Dan Lain-lain Sebagainya

Bab 281: Larangan Berbisiknya Dua Orang Tanpa Orang Yang Ketiga Dan Tanpa Izinnya Yang Ketiga Ini, Melainkan Karena Adanya Keperluan, Yaitu Kalau Kedua Orang Itu Bercakap-cakap Secara
Rahasia Sekira Orang Yang Ketiga Itu Tidak Dapat Mendengarkannya Atau Yang Semakna Dengan Itu, Umpamanya Keduanya Bercakap-cakap Dengan Sesuatu Bahasa Yang Tidak Dimengerti Oleh orang yang ketiga tadi

Bab 282 Larangan Menyiksa Hamba Sahaya, Binatang, Wanita Dan Anak Tanpa Adanya Sebab Yang Dibenarkan Oleh Syara' Ataupun Dengan Cara Yang Melebihi Kadar Kesopanan - Meskipun Dibenarkan Oleh Syara'

Bab 283 Haramnya Menyiksa Dengan Api Pada Semua Binatang, Sampai Pun Kutu Kepala Dan Sebagainya

Bab 284 Haramnya Menunda-nundanya Seorang Kaya Pada Sesuatu Hak Yang Diminta Oleh Orang Yang Berhak Memperolehnya

Bab 285 Makruhnya Seseorang Yang Menarik Kembali Hibah — Yakni Pemberiannya — Kepada Orang Yang Akan Dihibahi, Sebelum Diterimakan Kepada Yang Akan Dihibahi Itu Atau Hibah Yang Akan Diberikan Kepada Anaknya Dan Sudah Diterimakan Atau Belum Diterimakan Padanya, Juga Makruhnya Seseorang Membeli Sesuatu Benda Yang Disedekahkan Dari Orang Yang Disedekahi Atau Yang Dikeluarkan Sebagai Zakat Atau Kaffarah - Denda - Dan Lain-lain Sebagainya, Tetapi Tidak Mengapa Kalau Membelinya Itu Dari Orang Lain — Bukan Yang Disedekahi Atau Dizakati Dan Sebagainya — Karena Sudah Berpindah Milik Dari Orang Ini Ke Orang Lain Itu

Bab 286 Mengokohkan Keharamannya Makan Harta Anak Yatim
Bab 287 Memperkeraskan Haramnya Harta Riba

Bab 288 Haramnya Ria' - Pamer Atau Memperlihatkan Kebaikan Diri Sendiri

Bab 289 Sesuatu Yang Disangka Sebagai Ria', Tetapi Sebenarnya Bukan Ria'

Bab 290 Haramnya Melihat Kepada Wanita Ajnabiyah — Bukan Mahramnya — Dan Kepada Orang Banci Yang Bagus Tanpa Ada Keperluan Yang Dibenarkan Menurut Syara'

Bab 291 Haramnya Menyendiri Dengan Wanita Lain — Yakni Yang Bukan Mahramnya —

Bab292 Haramnya Orang-orang Lelaki Menyerupakan Diri Sebagai Kaum Wanita Dan Haramnya Kaum Wanita Menyerupakan Diri Sebagai Kaum Lelaki, Baik Dalam Pakaian, Gerakan Tubuh Dan Lain-lain

Bab 293 Larangan Menyerupakan Diri Dengan Syaitan Dan Orang-orang Kafir

Bab 294 Larangan Orang Lelaki Dan Perempuan Untuk Menyumba - Yakni Menyemir - Rambutnya Dengan Warna Hitam.

Bab 295 Larangan Menguncit Yaitu Mencukur Sebagian Kepala Dengan Meninggalkan Sebagian Lainnya Dan Bolehnya Mencukur Seluruh Kepala Untuk Orang Lelaki, Tidak Untuk Orang Perempuan

Bab 296 Haramnya Menghubungkan Rambut Sendiri Dengan Rambut Orang Lain. Mencacah Kulit - Dengan Gambar. Tulisan Dan Lain-lain - Serta Wasyr Yaitu Mengikir Gigi – Untuk Merenggangkannya.

Bab 297: Larangan mecabut Uban dari Janggut, Kepala Dan Lain-Lain Dan Larangan Orang Banci Mencabut Rambut lariggutnya Pada Permulaan Tumbuhnya

Bab 298: Makruhnya Bercebok Dengan Tangan Kanan Dan Memegang Kemaluan Dengan Tangan Kanan Ketika Bercebok Tanpa AdanyaUzur

Bab 299: Makruhnya Berjalan Dengan Mengenakan Sebuah Terumpah Atau Sebuah Sepatu Khuf Tanpa Adanya Uzur Dan Makruhnya Mengenakan Terumpah Atau Sepatu Khuf Dengan Berdiri Tanpa Uzur

Bab 300 Larangan Membiarkan Api Menyala Di Rumah Ketika Masuk Tidur Dan Lain-lain, Baikpun Api Itu Dalam Lampu Ataupun Lain-lainnya

Bab 301 Larangan Memaksa-maksakan Yaitu Perbuatan Dan Ucapan Yang Tidak Ada Kemaslahatan Di Dalamnya Dengan Kemasyarakatan - Yakni Kesukaran —

Bab 302 Haramnya Menangis Dengan Suara Keras Kepada Mayit, Menampar Pipi, Merobek-robek Saku, Mencabuti Rambut, Mencukur Rambut Serta Berdoa Dengan Mendapatkan Kecelakaan Dan Kehancuran

Bab 303 Larangan Mendatangi Ahli Tenung, Ahli Nujum, Ahli Terka, Orang-orang Meramal Dan Sebagainya Dengan Menunjuk Dengan Menggunakan Kerikil, Biji Sya'ir Dan Lain-lain Sebagainya

Bab 304 Larangan Dari Perasaan Akan Mendapat Celaka — Karena Adanya Sesuatu

Bab 305 Haramnya Menggambar Binatang Di Hamparan, Batu, Baju, Wang Dirham, Wang Dinar, Culing Bantal Dan Lain-lain, juga Haramnya Menggunakan Gambar Tadi Diletakkan Di Dinding Atap, Tabir, Sorban, Baju Dan Sebagainya Serta Perintah Merusakkan Gambar Itu

Bab 306: Haramnya Memelihara Anjing Kecuali Untuk Berburu, Menjaga Ternak Atau Ladang Tanaman

Bab 307: Makruhnya Menggantungkan Lonceng — Bel — Pada Unta Atau Binatang Lain-lain Dan Makruhnya Membawa Anjing Dan Lonceng - Bel - Dalam Bepergian

Bab 308: Makruhnya Menaiki lalalah Yaitu Unta Lelaki Atau Perempuan Yang Makan Kotoran. (ikatau la Sudah Makan Makanan Biasa - Bukan Kotoran *- Yang Suci Lalu Dagingnya Menjadi Enak Dimakan, Maka Hilanglah Kemakruhannya

Bab 309: Larangan Berludah Dalam Masjid Dan Perintah Menghilangkannya Jikalau Menemukan Ludah Itu Dan Pula Perintah Membersihkan Masjid Dari Segala Kotoran

Bab 310: Makruhnya Bertengkar Dalam Masjid, Mengeraskan Suara Di Dalamnya, Menanyakan Apa-apa Yang Hilang, J'ual Beli, Persewaan Dan Lain-lain Hal Yang Termasuk Mu'amalat

Bab 311 Larangan Makan Bawang Putih, Bawang Merah, Petai Dan Lain-lain Yang Mengandung Bau Busuk Dari Masuk Masjid Sebelum Lenyapnya Bau Tersebut —Dari Mulut –Kecuali kalau darurat

Bab 312 Makruhnya Duduk Ihtiba' Pada Hari Jum'at Di Waktu Imam Sedang Berkhutbah, Sebab Duduk Semacam Itu Dapat Menyebabkan Timbulnya Kantuk Lalu Tidak Memperhatikan Lagi Untuk Mendengar Khutbah Dan Pula Ditakutkan Akan Batalnya Wudhu'

Bab 313 Larangan Bagi Seseorang Yang Didatangi Tanggal Sepuluh Zulhijjah Dan la Hendak Menyembelih Kurban Kalau la Mengambil - Memotong Atau Mencukur - Sesuatu Dari Rambut Atau Kukunya Sendiri, Sehingga laSelesai Menyembelih Kurban Tadi

Bab 314 Larangan Bersumpah Dengan Menggunakan Makhluk Seperti Nabi, Ka'bah, Malaikat, Langit, Nenek-moyang, Kehidupan, Ruh, Kepala, Kehidupan Sultan, Kenikmatan Sultan, Tanah Si Fulan, Amanat Dan Sumpah-sumpah Semacam Inilah Yang Terkeras Larangannya

Bab 315 Memperkeraskan Keharamannya Sumpah Dusta Dengan Sengaja

Bab 316 Sunnahnya Seseorang Yang Sudan Terlanjur Mengucapkan Sumpah, Lalu Melihat Lainnya Yang Lebih Baik Dari Yang Disumpahkannya Itu, Supaya la Mengerjakan Saja Apa Yang Sudan Disumpahkan Tadi Kemudian Membayar Denda Atas Sumpahnya Tersebut

Bab 317 Pengampunan Atas Sumpah Yang Tidak Disengaja Dan Bahwasanya Sumpah Semacam Ini Tidak Perlu Dibayarkan Kaffarah, Yaitu Sumpah Yang Biasa Meluncur Atas Lisan Tanpa Adanya Kesengajaan, Seperti Seseorang Yang Sudan Biasa Mengucapkan: "Tidak, Wallahi" Dan "Ya, Wallahi" Dan Lain-lain Sebagainya

Bab 318 Makruhnya Bersumpah Dalam Berjualan, Sekalipun Benar Kata-katanya

Bab 319 Makruhnya Seseorang Meminta Dengan Zatnya Allah Azza Wa Jalla Selain Dari Syurga Dan Makruhnya Menolak Seseorang Yang Meminta Dengan Menggunakan Ucapan "Dengan Allah Ta'ala" Serta
Bersyafa'at Dengan Kata-kata Itu

Bab 320 Haramnya Mengucapkan Syahansyah'— Maha Raja Atau Raja Di Raja — Untuk Seseorang Sultan Atau Lain-lainnya, Sebab Artinya, Itu lalah Raja Dari Sekalian Raja, Sedangkan Tidak Boleh Diberi Sifat Sedemikian Itu Melainkan Allah Subhanahu Wa Ta'ala

Bab321 Larangan Memanggil Orang Fasik Atau Orang Yang Berbuat Kebid'ahan Dan Yang Semacam Itu Dengan Ucapan "Tuan - Sayyid —" Dan Yang Seumpamanya

Bab 322 Makruhnya Memaki-maki Penyakit Panas

Bab 323 Larangan Memaki-maki Angin Dan Uraian Apa Yang Diucapkan Ketika Ada Hembusan Angin

Bab 324 Makruhnya Memaki-maki Ayam

Bab 325 Larangan Seseorang Mengucapkan: "Kita Dihujani Dengan Berkah Bintang Anu”

Bab 326 Haramnya Seseorang Mengatakan Kepada Sesama Orang Muslim: "Hai Orang Kafir"

Bab 327: Larangan Berbuat Kekejian — Atau Melanggar Batas — Serta Berkata Kotor

Bab 328 Makruhnya Memaksa-maksakan Keindahan Dalam Bercakap-cakap Dengan Jalan Berlagak Sombong Dalam Mengeluarkan Kata-kata Dan Memaksa-maksa Diri Untuk Dapat Berbicara Dengan Fasih Atau Menggunakan Kata-kata Yang Asing - Sukar Diterima – Serta Susunan Yang Rumit-rumit Dalam Bercakap-cakap Dengan Orang Awam Dan YangSeumpama Mereka Itu

Bab 329: Makruhnya Berkata: "Cemarjiwaku"

Bab 330: Makruhnya Menamakan Anggur Dengan Sebutan Alkarmu

Bab 331: Larangan Menguraikan Sifat - Keadaan Atau Hal Ihwal - Wanita Kepada Seseorang Lelaki, Kecuali Kalau Ada Keperluan Untuk Berbuat Sedemikian Itu Untuk Kepentingan Syara' Seperti Hendak Mengawininya Dan Sebagainya

Bab 332: Makruhnya Seseorarg Mengucapkan Dalam Doanya: "Ya Allah, Ampunilah Saya Kalau Engkau Berkehendak", Tetapi Haruslah la Memantapkan Permohonannya Itu

Bab 333: Makruhnya Ucapan: "Sesuatu Yang Allah Menghendaki Dan Si Fulan Itu Juga Menghendaki"

Bab 334: Makruhnya Bercakap-cakap Sehabis Shalat Isya'Yang Akhir

Bab 335: Haramnya Seseorang Isteri Menolak Untuk Diajak Ke Tempat Tidur Suaminya, jikalau Suami Itu Mengajaknya, Sedangkan Isterinya Itu Tidak Mempunyai Uzur Yang Dibenarkan Oleh Syara'

Bab 336: Haramnya Seorang Isteri Mengerjakan Puasa Sunnah Di Waktu Suaminya Ada Di Rumah, Melainkan Dengan Izin Suaminya ltu

Bab 337: Haramnya Makmum Mengangkat Kepala Dari Ruku' Atau Sujud Sebelumnya Imam

Bab 338: Makruhnya Meletakkan Tangan Di Atas Khashirah — Yakni Rusuk Sebelah Atas Pangkal Paha - Ketika Shalat

Bab 339: Makruhnya Shalat Di Muka Makanan, Sedang Hatinya Ingin Padanya Atau Bersembahyang Dengan Menahan Dua Kotoran Yaitu Ingin Kencing Atau Berak

Bab 340: Larangan Mengangkat Mata Ke Langit - Yakni Ke Arah Atas - Dalam Shalat

Bab 341: Makruhnya Menoleh Dalam Shalat Tanpa Adanya Uzur

Bab 342: Larangan Shalat Menghadap Ke Arah Kubur

Bab 343: Haramnya Berjalan Melalui Mukanya Orang Yang Bersembahyang

Bab 344: Makruhnya Makmum Memulai Shalat Sunnah Setelah Muazzin Mulai
Mengucapkan Iqamah, Baikpun Yang Dilakukan Itu Shalat Sunnah Dari Shalat Wajib Yang Dikerjakan Itu — Yakni Rawaatib — Ataupun Sunnah Lainnya

Bab 345: Makruhnya Mengkhususkan Hari Jumaat Untuk Berpuasa Dan Malam Jumaat Untuk Shalat Malam

Bab 346: Haramnya Mempersambungkan Dalam Berpuasa Yaitu Berpuasa Dua Hari Atau Lebih Dan Tidak Makan Serta Tidak Minum Antara Hari-hari ltu

Bab 347 Haramnya Duduk Di Atas Kubur

Bab 348: Larangan Memelur Kubur Dan Membuat Bangunan Di Atasnya

Bab 349: Memperkeras Keharaman Melarikan Diri Bagi Seseorang Hamba Sahaya Dari Tuan Pemiliknya

Bab 350: Haramnya Memberi Syafa'at - Yakni Pertolongan - Dalam Hal Melaksanakan Had-had Atau Hukuman — Sehingga Diurungkan Terlaksananya Hukuman Itu —

Bab 351: Larangan Berberak Di Jalanan Orang-orang — Yakni Tempat Mereka Berlalu Lintas —Juga Di Tempat Mereka Berteduh Dan Di Tempat Mendatangi Air - Sumber-sumber Air - Dan Yang Seumpamanya

Bab 352: Larangan Kencing Dan Sebagainya Di Air Yang Berhenti - Yakni Tidak Mengalir

Bab 353: Makruhnya Mengutamakan Seseorang Anak Melebihi Anak-anak Yang Lainnya Dalam Hal Menghibahkan — Yakni Memberikan Sesuatu –

Bab 354: Haramnya Berkabung — Meninggalkan Berhias — Bagi Seseorang Wanita Atau Meninggalnya Mayit Lebih Dari Tiga Hari, Kecuali Kalau Yang Meninggal Itu Suaminya, Maka Berkabungnya Selama Empat Bulan Sepuluh Hari

Bab 355: Haramnya Menjualkannya Orang Kota Pada Miliknya Orang Desa Dan Menyongsong Penjual Di Atas Kendaraan, Juga Haramnya Menjual Atas Jualan Saudaranya — Sesama Muslim —, Jangan Pula Melamar Atas Lamaran Saudaranya, Kecuali Kalau la Mengizinkan Atau la Ditolak Lamarannya

Bab 356: Larangan Menyia-nyiakan Harta Yang Tidak Di Dalam Arah-arah Yang Diizinkan Oleh Syari'at Dalam Membelanjakannya

Bab 357: Larangan Berisyarat Kepada Seorang Muslim Dengan Menggunakan Pedang Dan Sebagainya Baikpun Secara Sungguh-sungguh Atau Senda-gurau Dan Larangan Memberikan Pedang Dalam Keadaan Terhunus

Bab 358: Makruhnya Keluar Dari Masjid Sesudah Azan Kecuali Karena Uzur, Sehingga Melakukan Shalat Yang Diwajibkan

Bab 359: Makruhnya Menolak Harum-haruman Tanpa Adanya Uzur

Bab 360: Makruhnya Memuji Di Muka Orang Yang Dipuji jikalau Dikhuatirkan Timbulnya Kerusakan Padanya Seperti Menimbulkan Rasa Keheranan Pada Diri Sendiri Dan Sebagainya, Tetapi )awaz - Yakni Boleh — Bagi Seseorang Yang Aman Hatinya Dari Perasaan Yang Sedemikian Itu Jikalau Menerima Pujian Pada Dirinya

Bab 361: Makruhnya Keluar Dari Sesuatu Negeri Yang Dihinggapi Oleh Wabah Penyakit Karena Hendak Melarikan Diri Daripadanya Serta Makruhnya Datang Di Negeri Yang Dihinggapi Itu

Bab 362: Memperkeras Keharamannya Sihir

Bab 363: Larangan Bepergian Dengan Membawa Mushhaf — Yakni Kitab Suci Al-Quran — Ke Negeri Orang-orang Kafir, Jikalau Dikhuatirkan Akan jatuhnya Mushhaf Itu Di Tangan Mereka

Bab 364: Haramnya Menggunakan Wadah Yang Terbuat Dari Emas Dan Wadah Dari Perak Untuk Makan, Minum, Bersuci Dan Macam-macam Penggunaan Yang Lain-lain

Bab 365: Haramnya Seseorang Lelaki Mengenakan Pakaian Yang Dibubuhi Minyak Za'faran

Bab 366: Larangan Berdiam — Tidak Berbicara — Sehari Sampai Malam

Bab 367: Haramnya Seseorang Mengaku Nasab — Atau Keturunan — Dari Seseorang Yang Bukan Ayahnya Dan Mengaku Diperintah Oleh Orang Yang Bukan Walinya — Yakni Yang Tidak Berhak Memerdekakannya

Bab 368: Menakut-nakuti Dari Menumpuk-numpuk Apa-apa Yang Dilarang Oleh Allah AzzaWaJalla Serta Oleh Rasulullah s.aw.

Bab 369: Apa-apa Yang Perlu Diucapkan Dan Dikerjakan Oleh Seseorang Yang Menumpuk-numpuk Apa-apa Yang Dilarang — Oleh Agama — Atas Dirinya


KITAB ALMANTSURAT DAN ALMULAH

Bab 370: Beberapa Hadis Yang Berserakan — Tidak Termasuk Dalam Bab Tertentu — Dan Yang Sedap-sedap Dirasakan


KITAB ISTIGHFAR

Bab 371: Mohon Pengampunan

Bab 372: Uraian Perihal Apa-apa Yang Disediakan Oleh Allah Ta'ala Untuk Kaum Mukminin Di Dalam Syurga