Monday 30 August 2010

Mutiara 20 : Amaran Berdakwah Tanpa Amal

(Bab 24 : Amaran Berdakwah Tanpa Amal, Hadits RS198)


Allah Taala berfirman:

“Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedang kamu melupakan diri (kewajipan)mu sendiri, padahal kamu membaca kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berfikir?” (Al-Baqarah, 2:44)

“Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (Ash-Shaff, 61:2-3)

“(Syuaib berkata): Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang.” (Huud, 11:88)


Seorang yang soleh mengerjakan makruf dan menyuruh orang lain mengerjakannya. Beliau juga mengelak diri dari melakukan kemungkaran di samping menegah orang lain dari melakukan kemungkaran tersebut. Allah dan RasulNya memberi amaran kepada orang-orang yang hanya menyuruh kepada makruf dan menegah daripada kemungkaran sedangkan amalan mereka tidak menepati apa yang mereka dakwahkan.

M58. Dari Abu Zaid Usamah bin Zaid bin Haritsah r.a., katanya: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Seorang lelaki didatangkan pada hari kiamat kemudian dilemparkan ke dalam neraka sehingga keluar usus perutnya. Orang itu berputar pada usus perutnya sebagaimana berputar keldai pada penggilingan. Ahli neraka berkumpul kepadanya lalu bertanya: ‘Kenapa begini hai Fulan? Bukankah kamu menyuruh kepada makruf dan menegah daripada kemungkaran?" Ia menjawab: ‘Benar, saya dahulu menyuruh kepada makruf, tetapi saya sendiri tidak melakukannya; dan saya menegah daripada kemungkaran, tetapi saya sendiri mengerjakannya.’" (RS198; Bukhari, Muslim)

Saturday 28 August 2010

Mutiara 19 : Menyuruh Makruf, Mencegah Mungkar

(Bab 23 : Menyuruh Makruf, Mencegah Mungkar, Hadits RS184-RS197)


Allah Taala berfirman:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Ali Imran, 3:104)

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar.” (Ali Imran, 3:110)

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar.” (At-Taubah, 9:71)

Ayat-ayat lain : Al-A’raaf, 7:199; Al-Maa-idah, 5:78-79; Al-Kahfi, 18:29; Al-Hijr, 15:94; Al-A’raaf, 7:165.


Orang-orang beriman mengambil berat makruf yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. dan kemungkaran yang ditegah. Mereka sedaya upaya melakukan kewajipan yang telah ditetapkan ke atas mereka dan sekuat hati cuba meninggalkan apa-apa yang terlarang. Perintah dan larangan Allah ini tidak terhad untuk diri mereka sahaja, tetapi juga keluarga, masyarakat, negara dan dunia umumnya.

Orang-orang yang beriman tentunya tidak akan senang hati selagi makruf tidak dilakukan dan kemungkaran berleluasa di luar sana. Mereka berusaha untuk membenteras kemungkaran dan menegakkan makruf, bersendirian maupun berkerjasama dengan orang lain.

M52. Dari Abu Said al-Khudri r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, ubahlah dengan tangannya; jika tidak mampu, ubahlah dengan lidah dan jika tidak mampu juga, ubahlah dengan hati. Ini adalah selemah-lemah iman. (RS184; Muslim)

M53. Dari Ibnu Mas'ud r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tiada seorang nabi yang diutuskan Allah sebelumku melainkan ia mempunyai pengikut-pengikut dan sahabat-sahabat setia yang mengikuti sunnah dan mentaati perintahnya. Kemudian timbul selepas mereka pengganti yang suka mengatakan apa yang mereka tidak lakukan dan melakukan apa yang tidak diperintahkan.

Sesiapa yang menentang mereka dengan tangannya, ia mukmin; sesiapa yang menentang mereka dengan lidahnya, ia mukmin dan sesiapa yang menentang mereka dengan hatinya, ia juga mukmin. Selain dari itu, tidak ada iman walau seberat biji sawi.” (RS185; Muslim)

M54. Dari An-Nu'man bin Basyir r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:

"Perumpamaan orang yang menegakkan hukum Allah dan orang yang menjerumuskan diri di dalamnya seperti satu kaum yang membahagikan tempat dalam sebuah kapal. Sebahagian berada di atas dan sebahagian lagi di bawah. Apabila orang-orang yang berada di bahagian bawah memerlukan air mereka naik ke atas, tentunya menyusahkan mereka. Mereka berkata: ‘Bagaimana kalau kita membuat lubang di bahagian bawah kita ini (untuk mendapatkan air), dengan itu tidak mengganggu orang yang berada di atas?’ Sekiranya orang-orang di atas membiarkan sahaja orang di bawah berbuat begitu, tentulah semua akan karam. Kalau mereka mencegah, semua terselamat.” (RS187; Bukhari)

M55. Dari Abu Said Al-Khudri r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:

"Jauhilah dari duduk-duduk di jalan-jalan." Para sahabat berkata: "Ya Rasulullah, kami tidak dapat meninggalkan tempat itu kerana mahu berbual-bual.” Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Jika kamu enggan meninggalkannya, berilah hak jalan.” Mereka bertanya: "Apakah hak jalan itu,ya Rasulullah?" Baginda bersabda: "Pejamkan mata, tidak mengganggu, menjawab salam, menyuruh makruf dan mencegah mungkar.” (RS190; Bukhari, Muslim)

M56. Dari Hudzaifah r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:

"Demi Dia yang jiwaku di tanganNya, hendaklah kamu menyuruh makruf dan mencegah kemungkaran . Kalau tidak, Allah akan menurunkan siksaan kepada kamu. Kemudian kamu berdoa kepadaNya tetapi tidak akan dikabulkan." (RS193; Tarmizi)

M57. Dari Abu Said al-Khudri r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:

"Seutama-utamanya jihad ialah kalimat menuntut keadilan di hadapan penguasa yang menyeleweng." (RS194; Abu Daud, Tarmizi)

Tuesday 24 August 2010

Mutiara 18 : Menganjur dan Bertolongan untuk Kebaikan

(Bab 19 : Mencontohkan Amal Baik dan Jahat, Hadits RS171-RS172;
Bab 20 : Menganjur Kebaikan atau Kesesatan, Hadits RS173-RS176;
Bab 21 : Bertolongan untuk Kebajikan dan Takwa, Hadits RS177-RS180;
Bab 22 : Nasihat, Hadits RS181-RS183)


Allah Taala berfirman:

“Dan orang-orang yang berkata: ‘Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.’” (Al-Furqaan, 25:74)

“Kami telah menjadikan mereka itu sebagai pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami.” (Al-Anbiyaa’, 21:73)

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik.” (An-Nahl, 16:125)

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa.” (Al-Maa-idah, 5:2)

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Al-‘Ashr, 103:1-3)

Ayat-ayat lain : Al-Hajj, 22:76; Ali Imran, 3:104; Al-Hujuraat, 49:10; Al-A’raaf, 7:62; Al-A’raaf, 7:68.


Orang-orang yang soleh tidak mengasingkan diri dari masyarakat. Mereka memberi manfaat dan mengambil manfaat dari masyarakat, manfaat yang boleh membantu kehidupan di akhirat kelak. Mereka mencontohi orang-orang soleh yang lain, dan mereka menjadi contoh tauladan kepada orang lain. Mereka juga bantu membantu untuk mentaati Allah, saling nasihat menasihati dengan kebenaran dan kesabaran.

M48. Dari Abu Amr Jarir bin Abdullah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa memulakan contoh yang baik dalam Islam, ia beroleh pahalanya dan pahala orang yang mengikut tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Dan sesiapa yang memulakan contoh yang buruk dalam Islam, ia beroleh dosanya dan dosa orang yang mengikut tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.” (RS171; Muslim)

M49. Dari Abul Abbas Sahl bin Saad As-Saidi r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Demi Allah! Jika Allah memberi petunjuk kepada seseorang dengan sebab usahamu, itu lebih baik dari kamu beroleh binatang ternak yang merah-merah." (RS175; Bukhari, Muslim)

M50. Dari Abu Abdul Rahman Zaid bin Khalid Al-Juhani r.a., katanya: Nabi Allah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang menyediakan keperluan orang yang berjihad fisabilillah, sesungguhnya ia berjihad. Dan sesiapa yang menjaga keluarga orang yang berjihad fisabilillah, sesungguhnya ia berjihad." (RS177; Bukhari, Muslim)

M51. Dari Abu Ruqayyah Tamin bin Aus Ad-Dari r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

"Agama itu nasihat." Kami bertanya: "Untuk siapa?" Baginda menjawab: "Untuk Allah, kitabNya, rasulNya, pemimpin-pemimpin serta seluruh umat Islam" (RS181; Muslim)

Sunday 22 August 2010

Mutiara 17 : Tegahan Bidaah

(Bab 18 : Tegahan Bidaah, Hadits RS169-RS170)


Allah Taala berfirman:

“Tidaklah Kami alpakan sesuatu pun di dalam kitab.” (Al-An’aam, 6:38)

“Jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya).” (An-Nisaa’, 4:59)

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya.” (Al-An’aam, 6:153)

Ayat-ayat lain : Yunus, 10:32; Ali Imran, 3:31.


Setiap amalan yang tidak bersandarkan Al-Quran dan sunnah adalah tertolak. Amalan-amalan tersebut mungkin berasal daripada agama asal sesuatu masyarakat sebelum mereka menerima Islam, bercampur-aduk dengan amalan masyarakat lain yang tidak beragama Islam, direka oleh orang-orang tertentu dalam masyarakat maupun dicipta sendiri oleh seseorang individu.

M46. Dari Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan (agama) kami ini dengan perkara yang tidak ada dasar daripadanya, ia tertolak." (RS169; Bukhari, Muslim)

Dalam riwayat Muslim juga:

"Sesiapa yang beramal dengan amalan yang tidak berasal dari urusan (agama) kami, ia tertolak.”

M47. Dari Jabir r.a., katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. apabila berkhutbah, merah padam mata baginda, lantang suaranya, kelihatan sangat serius seolah-olah baginda memberi amaran kepada tentera dengan bersabda: “Bersiap sedialah kamu dari musuh yang menyerang pagi dan petang.” Baginda bersabda:

"Aku diutuskan ketika hari kiamat telah hampir seperti dua jari ini.” Baginda merapatkan jari telunjuk dan jari tengah. Kemudian menambah: "Kemudian dari itu, sesungguhnya sebaik-baik keterangan ialah Kitab Allah (Al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad s.a.w. Seburuk-buruk urusan (agama) ialah yang diada-adakan dan setiap bidaah itu sesat." (RS170; Muslim)

Wednesday 18 August 2010

Mutiara 16 : Menjaga Sunnah

(Bab 16 : Menjaga Sunnah, Hadits RS156-RS167)


Allah Taala berfirman:

“Dan tidaklah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” (An-Najm, 53:3-4)

“Katakanlah: ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Rasulullah), nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’" (Ali Imran, 3:31)

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat.” (Al-Ahzab, 33:21)

“Barangsiapa yang mentaati rasul, sesungguhnya ia telah mentaati Allah.” (An-Nisaa’, 4:80)

Ayat-ayat lain : Al-Hasyr, 59:7; An-Nisaa’, 4:65; An-Nisaa’, 4:59; Asy-Syuura, 42:52; An-Nuur, 24:63; Al-Ahzab, 33:34.


Allah s.w.t. mengutuskan Nabi s.a.w., seorang manusia, bukannya malaikat, untuk memberi petunjuk kepada umat manusia. Seorang manusia lebih mudah ditauladani oleh manusia lain. Apa yang diajar oleh Rasulullah yang berupa suruhan atau larangan adalah berdasarkan wahyu Allah dan perlu diikuti oleh setiap orang beriman.

M43. Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:

"Biarlah dengan apa yang aku biarkan dari kamu. Sesungguhnya yang membinasakan orang-orang sebelum kamu ialah banyaknya pertanyaan mereka dan menyalahi nabi-nabi mereka. Oleh itu apabila aku melarang kamu dari sesuatu, jauhilah ia dan apabila aku menyuruh kamu dengan suatu perintah, lakukanlah ia sedaya upaya kamu." (RS156; Bukhari, Muslim)

M44. Dari Abu Najih Al-Irbadh bin Sariyah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. menyampaikan pengajaran yang meresap ke hati dan mencucurkan airmata. Kami pun berkata: “Wahai Rasulullah, itu seolah-olah pengajaran perpisahan, maka wasiatkanlah kami.” Baginda bersabda:

"Saya berwasiatkan kepada kamu semua untuk bertaqwa kepada Allah, serta mendengar dan mentaati pemimpin walau ia seorang hamba Habsyi. Sesungguhnya yang lanjut usia di antara kamu akan melihat perselisihan yang banyak. Hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ Ar-Rasyidin (khalifah-khalifah yang beroleh petunjuk). Gigitlah ia kuat-kuat dengan gigi gerahammu. Berhati-hatilah kamu dari sesuatu yang serba baru kerana sesungguhnya setiap bidaah itu sesat.” (RS157; Abu Daud, Tarmizi)

M45. Dari Abis bin Rabi'ah, katanya: Saya melihat Umar bin Al-Khattab r.a. mencium Hajarul Aswad (batu hitam berhampiran kaabah) dan berkata:

"Sesungguhnya aku tahu bahawa kamu adalah batu yang tidak dapat memberi manfaat atau mudarat. Sekiranya aku tidak melihat Rasulullah s.a.w. menciummu, pasti aku juga tidak menciummu." (RS167; Bukhari, Muslim)

Sunday 15 August 2010

Mutiara 15 : Mentaati Hukum Allah

(Bab 17 : Mentaati Hukum Allah, Hadits RS168)


Allah Taala berfirman:

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (An-Nisaa’, 4:65)

“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan: ‘Kami mendengar dan kami patuh.’ Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (An-Nuur, 24:51)


Keimanan kepada Allah s.w.t. menuntut seseorang tunduk kepada peraturan hidup yang telah ditetapkan olehNya samada yang dinyatakan di dalam Al-Quran maupun yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Seorang yang beriman akur bahawa Allah Maha Bijaksana di dalam menentukan jalan hidup mereka. Lantas ia dengar dan taat kepada setiap perintah Allah s.w.t.

M42. Dari Abu Hurairah r.a.katanya: Apabila turun ayat berikut kepada Rasulullah s.a.w. : “Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”(Al-Baqarah, 2:284), para sahabat terasa berat. Mereka pergi mengadap Rasulullah s.a.w. sambil merangkak.

Mereka berkata: “Ya Rasulullah, kami dapat menerima tanggungjawab amalan solat, jihad, puasa dan sedekah, dengan sedaya upaya. Kini diturunkan kepada kamu satu ayat yang kami tidak mampu melaksanakannya.” Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Apakah kamu mahu menjadi seperti dua ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) sebelum kamu yang berkata: ‘Kami dengar dan kami langgar’? Bahkan katakanlah: ‘Kami dengar dan kami taat. Ampunkanlah kami wahai Tuhan Kami. Kepada Engkaulah kami kembali.’”

Apabila mereka membacanya dan bacaan itu ringan di lidah, Allah menurunkan ayat selanjutnya: “Rasul telah beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan): ‘Kami tidak membeza-bezakan antara seseorang pun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya’, dan mereka mengatakan: ‘Kami dengar dan kami taat’. (Mereka berdoa): ‘Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali’.” (Al-Baqarah, 2:285)

Apabila mereka melaksanakan yang demikian, Allah memansukhkan hukum ayat itu dengan menurunkan ayat: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebaikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): ‘Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah.’” Baginda bersabda: “Ya.”

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir". (Al-Baqarah, 2:286) Baginda bersabda: “Ya.” (RS168; Muslim)

Thursday 12 August 2010

Mutiara 14 : Menjaga Penerusan Amal

(Bab 15 : Menjaga Penerusan Amal, Hadits RS153-RS155)


Allah Taala berfirman:

“Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras.” (Al-Hadiid, 57:16)

“Kemudian Kami iringkan di belakang mereka rasul-rasul Kami dan Kami iringkan (pula) Isa putera Maryam; dan Kami berikan kepadanya Injil dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutinya rasa santun dan kasih sayang. Dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah padahal Kami tidak mewajibkannya kepada mereka tetapi (mereka sendirilah yang mengada-adakannya) untuk mencari keredaan Allah, lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya.” (Al-Hadiid, 57:27)

“Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi cerai berai kembali.” (An-Nahl, 16:92)

“Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).” (Al-Hijr, 15:99)


Sebagaimana yang disebutkan dalam hadits dalam mutiara sebelum ini (Mutiara 13, M36/RS142) amalan yang disukai Allah ialah yang dilakukan secara berterusan. Kita perlu istiqamah beramal sehingga akhir nanti. Kualiti dan kuantiti amal boleh ditambah dari masa ke semasa, sesuai dengan kemampuan diri.

Antara cara untuk mencapai tujuan ini ialah dengan bersederhana (Mutiara 13) dan mujahadah (Mutiara 11). Rasulullah s.a.w. menasihati seorang sahabat untuk beristiqamah:

M39. Dari Abdullah bin Amru Al-Ash r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku:

"Wahai Abdullah, janganlah kamu menjadi seperti fulan. Dulu beliau berqiamullail, sekarang beliau meninggalkannya." (RS154; Bukhari, Muslim)

Walaupun pahala masih diperolehi kalau tidak dapat melakukan amal kerana keuzuran (M35/RS133) namun digalakkan untuk mengerjakannya juga bila berkesempatan di masa lain. Ini untuk memastikan rutin amal tersebut berterusan.

M40. Dari Umar Al-Khattab r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa tertidur dari membacakan hizib (bahagian dari Al-Quran) malam atau sebahagian dari hizibnya, kemudian ia membaca antara solat fajar dan zuhur, dicatat seolah-olah ia membaca di waktu malam." (RS153; Muslim)

M41. Dari Aisyah r.a., katanya: "Apabila Rasulullah s.a.w. terhalang dari solat malam kerana sakit atau selainnya, baginda bersolat 12 rakaat di waktu siang." (RS155; Muslim)

Baginda biasanya bersolat malam 11 rakaat termasuk witir. Solat yang digantikan ialah 12 rakaat, maksudnya bukan mengqadha witir tersebut.

Monday 9 August 2010

Mutiara 13 : Sederhana dalam Beramal

(Bab 14 : Sederhana dalam Beramal, Hadits RS142-RS152)


Allah Taala berfirman:

“Thaahaa. Kami tidak menurunkan Al-Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah.” (Thaahaa, 20:1-2)

“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Al-Baqarah, 2:185)

Islam adalah agama sederhana, di tengah antara dua keadaan yang melampau. Begitu juga dalam beramal, Islam mengajar kita bersederhana. Kita perlu bersederhana di antara dua sifat melampau, bermalas dan terlalu memaksa diri. Bersederhana dalam beramal ialah dengan melakukannya sesuai dengan kemampuan diri, tanpa mengabaikan sebarang tanggungjawab.

M36. Dari Aisyah r.a. bahawa Nabi s.a.w. memasuki rumah dan sewaktu seorang wanita berada di sisinya. Baginda bertanya: "Siapakah ini?" Aisyah menjawab: "Ini fulanah yang terkenal dengan (ketekunan) solatnya.” Baginda bersabda:

"Mah (ucapan menunjukkan ketidak senangan)! Beramallah kamu sesuai dengan kemampuanmu. Demi Allah! Allah tidak jemu (menerima amalanmu) sehingga kamu jemu. Pengamalan agama yang paling disukai Allah ialah yang dilakukan secara berterusan." (RS142; Bukhari, Muslim)

Beramal secara sederhana dapat memastikan sesuatu amalan dapat dilakukan dengan istiqamah.

M37. Dari Anas r.a., katanya: Tiga orang menziarahi rumah isteri-isteri Nabi s.a.w. bertanyakan ibadah Nabi s.a.w. Setelah mereka diberitahu, mereka merasakan amalan baginda sedikit dan berkata: “Di mana kita berbanding dengan Nabi s.a.w., baginda diampuni segala dosa yang lalu dan akan datang."

Seorang dari mereka berkata: "Saya akan bersolat malam selama-lamanya.” Seorang lagi berkata: “Saya akan berpuasa selama-lamanya.” Seorang lain pula berkata: "Saya akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya."

Rasulullah s.a.w. datang kepada mereka dan bersabda:

"Kamukah yang berkata begini dan begini? Demi Allah! Sesungguhnya aku yang paling takut kepada Allah dan paling bertakwa di antara kamu sekalian. Walau bagaimanapun aku berpuasa dan berbuka, aku bersolat dan tidur, dan aku berkahwin dengan beberapa orang wanita. Sesiapa yang bencikan sunnahku maka ia bukan dari golonganku." (RS143; Bukhari, Muslim)

Begitulah sunnah Rasulullah. Baginda pernah menegur dan menghadkan amalan seorang sahabat, Abdullah bin Amru Al-Ash r.a. yang bersumpah untuk berpuasa setiap hari dan bersembahyang sepanjang malam (RS150). Ujar baginda kepada beliau, “Sesungguhnya jasad kamu mempunyai hak, mata kamu mempunyai hak, isteri kamu mempunyai hak dan tetamu kamu mempunyai hak ke atas kamu.”

Baginda juga bersetuju dengan Salman Al-Farisi yang menegur Abu Darda’ yang kuat beribadat (RS149) dengan berkata: “Sesungguhnya Tuhan kamu mempunyai hak, diri kamu mempunyai hak dan keluarga kamu mempunyai hak ke atas kamu. Berikan hak masing-masing.” Rasulullah bersabda: “Benar Salman.”

Benarlah agama ini mudah, sesuai untuk semua manusia.

M38. Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya:

"Sesungguhnya agama ini mudah. Tidaklah seseorang mempersukarkan agama melainkan ia akan kalah. Bersederhanalah, beransur-ansur dan bukalah harapan. Pergunakanlah waktu pagi dan petang juga sebahagian waktu malam." (RS145; Bukhari)

Dalam riwayat Bukhari yang lain, "Bersederhana dan beransur-ansurlah. Pergunakan waktu pagi dan petang juga sebahagian waktu malam. Bersederhanalah, kamu pasti akan sampai."

Friday 6 August 2010

Mutiara 12 : Keluasan Amal Soleh

(Bab 13 : Keluasan Amal Soleh, Hadits RS117-RS141)


Allah Taala berfirman:

“Dan apa sahaja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Al-Baqarah, 2:215)

“Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya.” (Al-Baqarah, 2:197)

“Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.” (Az-Zalzalah, 99:7)

“Barangsiapa yang mengerjakan amal yang soleh maka itu adalah untuk dirinya sendiri.” (Al-Jaatsiyah, 45:15)

Kita diciptakan Allah untuk beribadah kepadanya (Adz-Dzaariyaat, 51:56). Ibadah dan ‘sedekah’, istilah yang digunakan dalam hadits berikut mempunyai maksud yang luas.

M32. Dari Abu Dzar r.a., ada orang-orang berkata:

"Ya Rasulullah, orang-orang kaya membolot pahala-pahala. Mereka bersembahyang sebagaimana kami bersembahyang dan mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa. Mereka dapat bersedekah dengan kelebihan harta mereka.” Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Bukankah Allah telah menyediakan untuk kamu sesuatu yang kamu dapat bersedekah? Sesungguhnya setiap tasbih itu sedekah, setiap takbir adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, menyuruh kepada kebaikan juga sedekah, melarang dari kemungkaran pun sedekah. Bahkan persetubuhan kamu adalah sedekah."

Mereka berkata: "Ya Rasulullah, masakan seseorang dari kami yang memenuhi syahwatnya beroleh pahala?" Baginda bersabda:

"Tidakkah kamu lihat, sekiranya seseorang memuaskan syahwatnya secara haram ia beroleh dosa? Begitu juga ia beroleh pahala kalau memuaskan syahwat secara halal." (RS120; Muslim)

Hadits di atas juga menunjukkan betapa para sahabat berlumba-lumba untuk mendapatkan pahala dari Allah s.w.t. Hadits-hadits berikut juga menunjukkan keluasan amal soleh di dalam Islam.

M33. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Setiap sendi manusia berkewajipan bersedekah setiap hari terbitnya matahari. Mendamaikan secara adil antara dua orang itu sedekah, membantu seseorang menaiki kenderaannya sedekah, membantu mengangkat barangnya ke atas kenderaan itu sedekah, kata-kata yang baik itu sedekah, setiap langkah ke tempat bersembahyang itu sedekah dan menyingkirkan gangguan dari jalan itu juga sedekah." (RS122; Bukhari, Muslim)

Dalam riwayat Muslim dari Aisyah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya setiap manusia Bani Adam terdiri dari tiga ratus enam puluh sendi. Sesiapa bertakbir kepada Allah, bertahmid kepada Allah, bertahlil kepada Allah, bertasbih kepada Allah, beristighfar kepada Allah, menyingkirkan batu, duri atau tulang dari jalan, menyuruh kepada kebaikan dan melarang dari kemungkaran sebanyak tiga ratus enam puluh kali, sesungguhnya ia berpetang pada hari itu menyelamatkan dirinya dari neraka."

M34. Dari Abu Hurairah r.a. pula dari Nabi s.a.w., sabdanya:

"Iman terdiri dari tujuh puluh lebih atau enam puluh lebih cabang. Yang paling utama ialah ucapan Lailahaillallah dan yang paling rendah ialah menyingkirkan gangguan dari jalan. Malu adalah salah satu cabang dari iman." (RS125; Bukhari, Muslim)

Selain dari amalan yang telah disebutkan ini, Rasulullah s.a.w. juga menceritakan (RS126) bagaimana seorang lelaki, dalam riwayat lain, seorang pelacur Bani Israel, beroleh pahala dan diampunkan Allah kerana memberi minum anjing yang kehausan.

Seseorang yang tidak dapat melakukan amalan biasanya kerana keuzuran akan terus beroleh pahala.

M35. Dari Abu Musa Al-Asyaari r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Seseorang hamba yang sakit atau bermusafir, dicatat baginya (pahala) sebagaimana ia beramal sewaktu bermukim atau sihat." (RS133; Bukhari)

Tuesday 3 August 2010

Mutiara 11 : Mujahadah (Bersungguh-sungguh)

(Bab 11 : Mujahadah, Hadits RS95-RS111)


Allah Taala berfirman:

“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk (mencari keredaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan Kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.” (Al-‘Ankabuut, 29:69)

“Sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadahlah kepada-Nya dengan penuh ketekunan.” (Al-Muzzammil, 73:8)

Ayat-ayat lain : Al-Hijr, 15:99; Az-Zalzalah, 99:7; Al-Muzzammil, 73:20; Al-Baqarah, 2:215.

Mentaati Allah s.w.t., mengerjakan suruhan dan meninggalkan laranganNya, memerlukan mujahadah, kesungguhan. Allah menjanjikan petunjukNya kepada orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk mencapai keredaanNya.

Amalan yang perlu diutamakan ialah mengerjakan kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah. Amalan sunat tidak bernilai sekiranya amalan fardhu ditinggalkan. Dengan mengerjakan amalan wajib dan nawafil, kehidupan seseorang diberkati. Ia hanya mahu mendengar dan melihat perkara-perkara yang diredai Allah. Ia juga hanya mahu menggunakan tangan dan kakinya untuk melakukan amalan yang membawa keredaanNya.

M28. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya Allah Taala berfirman: Sesiapa memusuhi waliKu, Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Tidaklah hambaKu mendekatiKu dengan sesuatu yang lebih Aku sukai daripada melakukan apa-apa yang difardhukan ke atasnya. Tidaklah seorang hambaKu mendekatiKu dengan melakukan nawafil (amalan sunat) melainkan Aku akan mencintainya. Apabila Aku mencintainya, Aku-lah pendengaran yang ia mendengar dengannya, Akulah pengelihatan yang ia melihat dengannya, tangan yang ia pergunakan dan kaki yang ia berjalan dengannya. Sekiranya ia memohon sesuatu daripadaKu, pasti Kuberi dan sekiranya ia memohon perlindunganKu, pasti Kulindungi." (RS95; Bukhari))(Arbain Nawawi, Hadits 38)

Kesungguhan seseorang untuk mendekati Allah, akan disambut dengan ganjaran yang melebihi kesungguhannya itu. Semakin tinggi kesungguhannya, semakin tinggi ganjaran yang diperolehi.

M29. Dari Anas r.a. dari Nabi s.a.w. dalam sesuatu yang diriwayatkan dari Tuhannya Azzawajalla, firmanNya:

"Jika seorang hamba mendekat kepadaKu sejengkal, Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika ia mendekat kepadaKu sehasta, Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika ia mendatangiKu dengan berjalan, Aku mendatanginya dengan berlari." (RS96; Bukhari)

M30. Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah dari orang mukmin yang lemah. Namun pada setiapnya ada kebaikan masing-masing. Bersungguhlah untuk mengerjakan apa yang bermanfaat kepadamu, mohonlah pertolongan kepada Allah dan jangan merasa lemah. Jika kamu terkena musibah, janganlah berkata: ‘Kalaulah saya mengerjakan begini, tentu akan menjadi begini dan begitu.’ Tetapi katakanlah: ‘Ini adalah takdir Allah, Dia melaksanakan apa yang dikehendakiNya.’ Sesungguhnya kata-kata ‘kalaulah’ itu membuka pintu amalan syaitan." (RS100; Muslim)

M31. Dan darinya (Abu Hurairah r.a.) juga bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Neraka tertutup dengan syahwat hawa nafsu sementara syurga tertutup dengan sesuatu yang tidak disenangi." (RS101, Bukhari, Muslim)