(Bab 1 : Ikhlas, Hadits RS1-RS12)
Imam Nawawi memulakan kitab Riadhus Shalihin ini dengan bab Ikhlas, satu topik penting yang menjadi asas kepada penerimaan amal seseorang. Tanpa keikhlasan, amalan-amalan yang dibentangkan di dalam bab-bab yang seterusnya tidak bernilai.
Bab ini, sebagaimana sebahagian bab-bab lain, dimulakan dengan beberapa ayat Al-Quran. Ayat Al-Quran yang pertama yang diketengahkan ialah:
“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan) ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus.” (Al-Bayyinah, 98 : 5)
Ayat-ayat lain yang dimasukkan oleh Imam Nawawi dalam bab ini ialah Al-Hajj, 22:37 dan Ali Imran, 3:29.
Beliau kemudiannya mengemukakan hadits yang pertama dalam bab yang pertama ini iaitu:
M1. Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Umar bin Al-Khattab r.a katanya : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda :
“Hanyasanya amalan-amalan itu adalah dengan niat dan hanyasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia perolehi atau kerana seorang perempuan yang ingin ia nikahi, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang ia berhijrah kepadanya.” (RS1; Bukhari, Muslim)
Hadits pembukaan kitab Riadhus Shalihin ini juga merupakan hadits pertama kepada kitab Arbain Nawawi yang masyhur itu, begitu juga kitabnya Al-Azkaar.
Samada sesuatu amalan bakal mendapat ganjaran dari Allah bergantung kepada niat seseorang. Sekiranya ia beramal ikhlas semata-mata untuk mendapat keredaan Allah dan pahala dariNya, tentulah itu yang akan diperolehinya. Sebaliknya kalau ia beramal untuk mendapat pujian manusia, kemegahan diri atau untuk maksud rendahan yang lain, keredaan Allah dan ganjaranNya tidak mungkin dicapai dengan amalan tersebut.
Apa yang bernilai di sisi Allah swt ialah amal soleh dan keikhlasan dalam beramal.
M2. Dari Abu Hurairah r.a., katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya Allah Taala tidak melihat kepada jasad atau rupa kamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hati dan amalan kamu." (RS7; Muslim)
Kita dapat lihat kemurahan Allah swt dalam mengganjari para hambaNya dalam hadits:
M3. Dari Abdullah bin Abbas bin Abdul Mutalib, r.a. dari Rasulullah s.a.w. dalam apa yang diriwayatkan dari Tuhannya Tabaraka wa Taala (Hadis Qudsi), bersabda:
"Sesungguhnya Allah mencatat hasanah (kebaikan) dan sayyiah (kejahatan), kemudian menjelaskan keduanya.
Sesiapa yang bercadang untuk mengerjakan kebaikan tetapi tidak jadi melakukannya, Allah Tabaraka wa Taala mencatat untuknya satu hasanah yang sempurna di sisiNya. Sesiapa yang bercadang untuk mengerjakan kebaikan kemudian melakukannya, Allah mencatat sepuluh hingga tujuh ratus hasanah malah lebih dari itu.
Seterusnya, sesiapa bercadang untuk mengerjakan kejahatan tetapi tidak jadi melakukannya Allah mencatat untuknya satu hasanah yang sempurna di sisiNya dan sesiapa yang mahu mengerjakan kejahatan kemudian melakukannya, Allah mencatat satu sayyiah sahaja." (RS11; Bukhari, Muslim)
Seseorang beroleh satu hasanah dengan niat sahaja, samada berniat melakukan kebaikan atau kejahatan tetapi tidak dapat melakukannya di atas sebab-sebab yang sesuai. Sekiranya ia dapat melakukan amal kebaikan yang diniatkannya itu, ia mendapat ganjaran hasanah yang berganda-ganda.
Amalan soleh yang dilakukan dengan ikhlas juga dapat menjadi sarana untuk memperkuatkan doa. Dalam hadits terakhir dalam bab ini, RS12, Rasulullah saw menceritakan bagaimana tiga orang pemuda terperangkap di dalam sebuah gua berdoa dan bertawassul dengan amalan yang mereka pernah lakukan. Hasilnya mereka diselamatkan dari gua tersebut.
No comments:
Post a Comment