Tuesday, 29 June 2010

Mutiara 2 : Taubat

(Bab 2 : Taubat, Hadits RS13-RS24)


Imam Nawawi memulakan bab ini menulis, berkata ulama:

“Bertaubat dari setiap dosa itu wajib. Taubat seorang hamba dengan Allah Taala, tidak berkait dengan hak manusia lain, mempunyai tiga syarat:

1. Berhenti serta-merta dari melakukan maksiat.
2. Menyesal kerana melakukannya.
3. Berazam untuk tidak mengulanginya lagi.

Jika maksiat itu berkait dengan hak manusia, syaratnya ada empat termasuk tiga syarat di atas dan menyelesaikan urusannya dengan orang yang berhak. Jika ia berkait dengan harta dan seumpamanya, harus mengembalikannya. Jika berkait dengan sumpah, tuduhan dan seumpamanya, maka harus meminta maaf. Jika ia berkaitan dengan mengumpat, maka ia harus meminta dihalalkan.

Adalah wajib bertaubat dari semua dosa. Jika seseorang bertaubat hanya dari sebahagian dosa sahaja maka yang diampunkan hanya itu manakala dosa lain tidak.”

Imam Nawawi kemudiannya mengemukakan tiga ayat Al-Quran berkenaan dengan taubat:

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (An-Nuur, 24:31)

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya.” (Huud, 11:3)

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya.” (At-Tahrim, 66:8)

Orang yang beriman tidak terkecuali dari melakukan dosa di saat-saat kelemahannya. Apa yang membezakannya dari orang lain ialah ia segera kembali kepada Allah. Ia sedar dosa tersebut berupa sesuatu yang boleh mengakibatkan kemurkaan Allah swt, sesuatu yang tidak wajar dilakukan oleh seseorang yang mengaku beriman. Ia tahu maksiat yang dilakukan boleh menjauhkan dirinya dari Allah. Orang yang beriman seterusnya insaf, memohon keampunan Allah dan bertaubat dari dosa yang dilakukan.

Rasulullah saw telah menunjukkan contoh tauladan yang sebaik-baiknya dalam hal ini.

M4. Dari Abu Hurairah r.a. berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Demi Allah, sesungguhnya saya beristighfar (meminta ampun) kepada Allah dan bertaubat kepadaNya lebih dari tujuh puluh kali dalam sehari." (RS13; Bukhari)

Baginda adalah seorang yang maksum, bersih dari dosa-dosa. Namun Rasulullah beristighfar dan bertaubat lebih dari 70 kali dalam sehari.

Allah sentiasa membuka pintu keampunannya di malam hari untuk hambaNya yang melakukan dosa di waktu siang, dan membuka pintu keampunan di waktu siang untuk hambaNya yang melakukan dosa di malam hari (RS16). Taubat akan terus diterima selagi roh masih belum sampai di kerongkongnya (RS18), selagi matahari belum terbit di sebelah barat (RS17).

Allah swt suka menerima taubat para hambaNya yang mengakui kelemahan diri dan menagih keampunanNya.

M5. Dari Abu Hamzah iaitu Anas bin Malik al-Anshari r.a., pelayan Rasulullah s.a.w., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Allah lebih gembira dengan taubat hambaNya di antara kamu melebihi kegembiraan seseorang yang secara tiba-tiba menemukan kembali untanya yang telah hilang di padang pasir yang tandus." (RS15; Bukhari, Muslim)

Dalam riwayat Muslim disebutkan demikian:

"Allah amat gembira dengan taubat hambaNya ketika ia bertaubat kepadaNya melebihi kegembiraan seseorang dari kamu yang menunggang kenderaan(unta) di padang pasir yang tandus, kemudian kenderaan yang membawa bekalan makanan dan minumannya itu hilang. Ia berputus-asa. Ia berbaring di bawah naungan sebuah pohon dalam keadaan kecewa kerana kehilangan kenderaan tersebut. Tiba-tiba kenderaannya itu berdiri di sisi, lalu ia memegang tali pengikatnya dan berkata dalam keadaan yang amat gembira: ‘Ya Allah, Engkau adalah hambaku dan aku adalah TuhanMu’. Ia tersasul kerana terlalu gembira."

Di dalam bab ini juga Imam Nawawi membawa hadits yang menceritakan bagaimana seorang yang membunuh 99 jiwa menjadi insaf dan mahu bertaubat. Beliau kemudiannya membunuh seorang rahib yang memberitahunya bahawa taubatnya tidak akan diterima. Seorang alim kemudian menasihatkan beliau untuk pergi ke satu tempat di mana orang-orang beribadat kepada Allah. Malaikat Rahmat, bukannya Malaikat Azab, menguruskan roh beliau apabila beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke sana. Maksudnya taubat beliau diterima (RS20).

Kisah Kaab bin Malik yang tidak pergi ke Ghazwah Tabuk juga dimasukkan dalam bab Taubat ini. Ayat 117-119 dari Surah At-Taubah mengesahkan bahawa Allah menerima taubat beliau dan dua orang sahabat lagi (RS21).

Begitu juga hadits berkenaan dengan seorang perempuan yang dihukum rejam dikemukakan. Rasulullah saw menegaskan kepada Saidina Umar bahawa taubat perempuan tersebut mencukupi kalau dibahagikan kepada 70 orang penduduk Madinah (RS22).

Ketiga-tiga kisah tersebut menunjukkan betapa Maha Pengampun Allah swt di dalam menerima taubat hamba-hambaNya walau sebesar mana dosa mereka sekalipun. Kita tidak seharusnya berputus-asa dari rahmat Allah bila melakukan sebarang maksiat. Allah akan mengampuni semua dosa sekiranya kita bersungguh-sungguh dalam bertaubat kepadaNya.

No comments:

Post a Comment