Imam Nawawi, Abu Zakaria Yahya bin Syaraf an-Nawawi ad-Dimasyqiy, dilahirkan di Nawa, satu tempat berhampiran dengan kota Damsyik (Damascus), Syria dalam tahun 1234 (631H). Beliau mula menetap di Damsyik dalam tahun 649H untuk menuntut ilmu dari para ulamak kota tersebut. Imam Nawawi tinggal di Madrasah Ar-Rawahiyyah.
Pada tahun 651H beliau menunaikan ibadah haji bersama ayahnya. Imam Nawawi kemudiannya pergi ke Madinah dan menetap di sana selama satu setengah bulan sebelum kembali ke Damsyik. Beliau mula mengajar di Darul Hadits Al-Asyrafiyyah, Damsyik dalam tahun 665H. Beliau menolak gaji yang diperuntukkan.
Beliau digelar Muhyiddin (yang menghidupkan agama) tetapi membenci gelaran ini kerana tawadhu’ beliau. Diriwayatkan bahawa beliau berkata: “Aku tidak akan memaafkan orang yang menggelarkanku Muhyiddin.”
Imam An-Nawawi adalah seorang yang zuhud, wara’ dan bertaqwa. Beliau sederhana, qana’ah dan berwibawa. Beliau menggunakan banyak waktu beliau dalam ketaatan. Sering tidak tidur malam untuk ibadah atau menulis. Beliau juga menegakkan amar ma’ruf nahi munkar, termasuk kepada para penguasa, dengan cara yang telah digariskan Islam.
Imam Nawawi meninggalkan banyak sekali karya ilmiah yang terkenal. Jumlahnya sekitar empat puluh kitab, di antaranya:
1. Dalam bidang hadits: Arba’in, Riyadhush Shalihin, Al-Minhaj (Syarah Shahih Muslim), At-Taqrib wat Taysir fi Ma’rifat Sunan Al-Basyirin Nadzir.
2. Dalam bidang fiqih: Minhajuth Thalibin, Raudhatuth Thalibin, Al-Majmu’.
3. Dalam bidang bahasa: Tahdzibul Asma’ wal Lughat.
4. Dalam bidang akhlak: At-Tibyan fi Adab Hamalatil Qur’an, Bustanul Arifin, Al-Adzkar.
Kitab-kitab ini dikenal secara luas termasuk oleh orang awam dan memberikan manfaat yang besar sekali untuk umat. Ini semua tidak lain karena taufik dari Allah Ta’ala, kemudian keikhlasan dan kesungguhan beliau dalam berjuang.
Imam Nawawi meninggal di Nawa dalam tahun 1278 (676H) sewaktu berusia 45 tahun.
No comments:
Post a Comment