(Bab 7 : Yakin dan Tawakal, Hadits RS74-RS84)
Firman Allah Taala:
“(Iaitu) orang-orang (yang mentaati Allah dan rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan: "Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka", maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: "Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.” Maka mereka kembali dengan nikmat dan kurnia (yang besar) dari Allah, mereka tidak mendapat bencana apa-apa, mereka mengikuti keredaan Allah. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (Ali Imran, 3:173-174)
“Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah.” (Ali Imran, 3:159)
“Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.” (Ath-Thalaaq, 65:3)
Ayat-ayat lain yang disertakan: Al-Ahzab, 33:22; Al-Furqaan, 25:58; Ibrahim, 14:11 dan Al-Anfal, 8:2.
Seorang yang beriman yakin dengan kekuasaan Allah s.w.t. yang menguasai dan menentukan segala urusan. Ia berusaha kemudian bertawakal kepada Allah dengan hasil usahanya itu.
Kita lihat bagaimana Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar r.a. semasa berhijrah, mereka berusaha mengelakkan diri dari kaum musyrikin dengan bersembunyi di dalam sebuah gua. Rasulullah menenangkan Abu Bakar bahawa Allah yang ketiga di antara mereka apabila mereka hampir dijejaki musuh (RS81). Peristiwa ini dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam surah At-Taubah, 9:40.
Kita juga dapat lihat keyakinan Rasulullah dengan pertolongan Allah dalam menundukkan seorang Arab Badwi yang menghunuskan pedang kepada baginda (RS78).
M21. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya:
"(Lafaz) ‘Hasbunallahu wa ni'mal wakil’(Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Dia adalah sebaik-baik Pelindung) pernah diucapkan oleh Ibrahim a.s. ketika beliau dilemparkan ke dalam api. Ia juga diucapkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. ketika orang-orang berkata: ‘Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka,’ tetapi perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: Hasbunallahu wa ni'mal wakil.” (RS76; Bukhari)
Dalam riwayat Bukhari juga dari Ibnu Abbas r.a. disebutkan: “Ucapan Nabi Ibrahim yang terakhir ketika beliau dilemparkan ke dalam api ialah: Hasbiallahu wa ni'mal wakil (Cukuplah Allah menjadi Penolongku dan Dia adalah sebaik-baik Pelindung)."
M22. Dari Umar r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan tawakal yang sebenar-benarnya, nescaya Dia akan memberikan rezeki kepadamu sebagaimana Dia memberikan rezeki kepada burung yang keluar pagi berperut kosong dan kembali petang kekenyangan. (RS79; Tarmizi)
M23. Dari Anas r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesiapa yang mengucapkan ketika keluar dari rumahnya: ‘Bismillahi tawakkaltu alallaahi wala haula wala quwwata illa billah (Dengan menyebut nama Allah, aku bertawakal kepada Allah dan tiada daya serta kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah)’, dikatakan kepadanya: ‘Kamu telah diberi petunjuk, dipercukupkan dan dipelihara.’ Syaitan pun menjauhkan diri darinya." (RS83, Abu Daud, Tarmizi, An-Nasaei)
Dalam riwayat lain, Syaitan berkata kepada syaitan yang lain: “Bagaimana kamu dapat mengganggu orang yang mendapat petunjuk, dipercukupkan dan dipelihara?”
No comments:
Post a Comment