(Bab 5 : Muraqabah, Hadits RS60-RS68)
Firman Allah s.w.t.:
“Yang melihat kamu ketika kamu berdiri (untuk sembahyang), dan (melihat pula) perubahan gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud.” (Asy-Syu’ara, 26:218-219)
“Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada.” (Al-Hadiid, 57:4)
“Sesungguhnya bagi Allah tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi di bumi dan tidak (pula) di langit.” (Ali Imran, 3:5)
“Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi.” (Al-Fajr, 89:14)
“Dia mengetahui (pandangan) mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati.”(Al-Mu’min, 40:19)
Kita sentiasa berada di dalam pengawasan Allah s.w.t., samada di tengah ramai maupun ketika berseorangan. Kita tidak akan terlepas dari pandanganNya. Keyakinan ini membuatkan seseorang sentiasa berwaspada dari melakukan sebarang dosa walau di mana ia berada.
M15. Dari Abu Dzar Jundub bin Junaadah dan Abu Abdul Rahman Muaz bin Jabal r.a. daripada Rasulullah s.a.w., sabdanya:
"Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada. Susulilah kejahatan dengan kebaikan yang akan menghapuskan kejahatan. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik." (RS61; Tarmizi)
M16. Dari Ibnu Abbas r.a., katanya: Pada suatu hari saya berada di belakang Nabi s.a.w. (di atas kenderaan), lalu baginda bersabda:
"Wahai budak! Sesungguhnya saya mahu mengajar kamu beberapa kalimat: Peliharalah Allah (memelihara perintah dan laranganNya), Dia akan memelihara kamu. Peliharalah Allah, pasti kamu akan dapati Dia bersamamu. Apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah dan apabila kamu meminta pertolongan, mintalah pertolongan itu kepada Allah.
Ketahuilah! Sesungguhnya jika umat manusia berhimpun untuk memberikan manfaat kepadamu dengan sesuatu, mereka tidak akan dapat memberikan manfaat itu melainkan dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu. Dan jika mereka berhimpun untuk memberikan mudarat kepadamu dengan sesuatu, mereka tidak akan dapat memberikan mudarat itu, melainkan dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah ke atas kamu. Pena telah diangkat dan lembaran kertas telah kering." (RS62; Tarmizi)
Dalam riwayat selain Tarmizi disebutkan:
"Peliharalah Allah, kamu akan mendapatiNya di hadapanmu. Kenalilah (ingatilah) Allah di waktu kamu senang, Dia akan kenali (ingat) kamu di waktu kamu susah. Ketahuilah! Sesuatu yang ditetapkan tidak mengena kamu, tidak akan menimpamu dan sesuatu yang ditetapkan menimpa kamu, kamu tidak akan dapat terlepas darinya. Ketahuilah! Sesungguhnya pertolongan itu beserta kesabaran dan kelapangan beserta kesukaran. Sesungguhnya beserta kesukaran adalah kemudahan."
Kadang-kadang kita mengambil mudah sebahagian dosa yang dilakukan, walhal generasi pertama umat Islam di zaman Rasulullah s.a.w. memandangnya serius.
M17. Dari Anas r.a., katanya:
"Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan yang lebih remeh pada pandangan kamu dari sehelai rambut, padahal kami di zaman Rasulullah s.a.w. menganggapnya dosa-dosa yang merosakkan." (RS63; Bukhari)
Ini berupa teguran sahabat Nabi yang paling akhir meninggal dunia, Anas bin Malik, kepada tabien yang bersamanya. Apatah lagi kita.
Selain dari meninggalkan perbuatan yang membawa dosa, kita juga diseru untuk meninggalkan perbuatan yang sia-sia, yang tidak membawa kemanfaatan di akhirat kelak.
M18. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sebahagian daripada kebaikan keislaman seseorang ialah meninggalkan apa-apa yang tidak memberikan kemanfaatan kepadanya.” (RS67; Tarmizi)
No comments:
Post a Comment