(Bab 14 : Sederhana dalam Beramal, Hadits RS142-RS152)
Allah Taala berfirman:
“Thaahaa. Kami tidak menurunkan Al-Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah.” (Thaahaa, 20:1-2)
“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Al-Baqarah, 2:185)
Islam adalah agama sederhana, di tengah antara dua keadaan yang melampau. Begitu juga dalam beramal, Islam mengajar kita bersederhana. Kita perlu bersederhana di antara dua sifat melampau, bermalas dan terlalu memaksa diri. Bersederhana dalam beramal ialah dengan melakukannya sesuai dengan kemampuan diri, tanpa mengabaikan sebarang tanggungjawab.
M36. Dari Aisyah r.a. bahawa Nabi s.a.w. memasuki rumah dan sewaktu seorang wanita berada di sisinya. Baginda bertanya: "Siapakah ini?" Aisyah menjawab: "Ini fulanah yang terkenal dengan (ketekunan) solatnya.” Baginda bersabda:
"Mah (ucapan menunjukkan ketidak senangan)! Beramallah kamu sesuai dengan kemampuanmu. Demi Allah! Allah tidak jemu (menerima amalanmu) sehingga kamu jemu. Pengamalan agama yang paling disukai Allah ialah yang dilakukan secara berterusan." (RS142; Bukhari, Muslim)
Beramal secara sederhana dapat memastikan sesuatu amalan dapat dilakukan dengan istiqamah.
M37. Dari Anas r.a., katanya: Tiga orang menziarahi rumah isteri-isteri Nabi s.a.w. bertanyakan ibadah Nabi s.a.w. Setelah mereka diberitahu, mereka merasakan amalan baginda sedikit dan berkata: “Di mana kita berbanding dengan Nabi s.a.w., baginda diampuni segala dosa yang lalu dan akan datang."
Seorang dari mereka berkata: "Saya akan bersolat malam selama-lamanya.” Seorang lagi berkata: “Saya akan berpuasa selama-lamanya.” Seorang lain pula berkata: "Saya akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya."
Rasulullah s.a.w. datang kepada mereka dan bersabda:
"Kamukah yang berkata begini dan begini? Demi Allah! Sesungguhnya aku yang paling takut kepada Allah dan paling bertakwa di antara kamu sekalian. Walau bagaimanapun aku berpuasa dan berbuka, aku bersolat dan tidur, dan aku berkahwin dengan beberapa orang wanita. Sesiapa yang bencikan sunnahku maka ia bukan dari golonganku." (RS143; Bukhari, Muslim)
Begitulah sunnah Rasulullah. Baginda pernah menegur dan menghadkan amalan seorang sahabat, Abdullah bin Amru Al-Ash r.a. yang bersumpah untuk berpuasa setiap hari dan bersembahyang sepanjang malam (RS150). Ujar baginda kepada beliau, “Sesungguhnya jasad kamu mempunyai hak, mata kamu mempunyai hak, isteri kamu mempunyai hak dan tetamu kamu mempunyai hak ke atas kamu.”
Baginda juga bersetuju dengan Salman Al-Farisi yang menegur Abu Darda’ yang kuat beribadat (RS149) dengan berkata: “Sesungguhnya Tuhan kamu mempunyai hak, diri kamu mempunyai hak dan keluarga kamu mempunyai hak ke atas kamu. Berikan hak masing-masing.” Rasulullah bersabda: “Benar Salman.”
Benarlah agama ini mudah, sesuai untuk semua manusia.
M38. Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya:
"Sesungguhnya agama ini mudah. Tidaklah seseorang mempersukarkan agama melainkan ia akan kalah. Bersederhanalah, beransur-ansur dan bukalah harapan. Pergunakanlah waktu pagi dan petang juga sebahagian waktu malam." (RS145; Bukhari)
Dalam riwayat Bukhari yang lain, "Bersederhana dan beransur-ansurlah. Pergunakan waktu pagi dan petang juga sebahagian waktu malam. Bersederhanalah, kamu pasti akan sampai."
thanks, jazakallahu khairan kathira :D
ReplyDelete