(Bab 15 : Menjaga Penerusan Amal, Hadits RS153-RS155)
Allah Taala berfirman:
“Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras.” (Al-Hadiid, 57:16)
“Kemudian Kami iringkan di belakang mereka rasul-rasul Kami dan Kami iringkan (pula) Isa putera Maryam; dan Kami berikan kepadanya Injil dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutinya rasa santun dan kasih sayang. Dan mereka mengada-adakan rahbaniyyah padahal Kami tidak mewajibkannya kepada mereka tetapi (mereka sendirilah yang mengada-adakannya) untuk mencari keredaan Allah, lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya.” (Al-Hadiid, 57:27)
“Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi cerai berai kembali.” (An-Nahl, 16:92)
“Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).” (Al-Hijr, 15:99)
Sebagaimana yang disebutkan dalam hadits dalam mutiara sebelum ini (Mutiara 13, M36/RS142) amalan yang disukai Allah ialah yang dilakukan secara berterusan. Kita perlu istiqamah beramal sehingga akhir nanti. Kualiti dan kuantiti amal boleh ditambah dari masa ke semasa, sesuai dengan kemampuan diri.
Antara cara untuk mencapai tujuan ini ialah dengan bersederhana (Mutiara 13) dan mujahadah (Mutiara 11). Rasulullah s.a.w. menasihati seorang sahabat untuk beristiqamah:
M39. Dari Abdullah bin Amru Al-Ash r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku:
"Wahai Abdullah, janganlah kamu menjadi seperti fulan. Dulu beliau berqiamullail, sekarang beliau meninggalkannya." (RS154; Bukhari, Muslim)
Walaupun pahala masih diperolehi kalau tidak dapat melakukan amal kerana keuzuran (M35/RS133) namun digalakkan untuk mengerjakannya juga bila berkesempatan di masa lain. Ini untuk memastikan rutin amal tersebut berterusan.
M40. Dari Umar Al-Khattab r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesiapa tertidur dari membacakan hizib (bahagian dari Al-Quran) malam atau sebahagian dari hizibnya, kemudian ia membaca antara solat fajar dan zuhur, dicatat seolah-olah ia membaca di waktu malam." (RS153; Muslim)
M41. Dari Aisyah r.a., katanya: "Apabila Rasulullah s.a.w. terhalang dari solat malam kerana sakit atau selainnya, baginda bersolat 12 rakaat di waktu siang." (RS155; Muslim)
Baginda biasanya bersolat malam 11 rakaat termasuk witir. Solat yang digantikan ialah 12 rakaat, maksudnya bukan mengqadha witir tersebut.
No comments:
Post a Comment