Sunday, 22 August 2010

Mutiara 17 : Tegahan Bidaah

(Bab 18 : Tegahan Bidaah, Hadits RS169-RS170)


Allah Taala berfirman:

“Tidaklah Kami alpakan sesuatu pun di dalam kitab.” (Al-An’aam, 6:38)

“Jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya).” (An-Nisaa’, 4:59)

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya.” (Al-An’aam, 6:153)

Ayat-ayat lain : Yunus, 10:32; Ali Imran, 3:31.


Setiap amalan yang tidak bersandarkan Al-Quran dan sunnah adalah tertolak. Amalan-amalan tersebut mungkin berasal daripada agama asal sesuatu masyarakat sebelum mereka menerima Islam, bercampur-aduk dengan amalan masyarakat lain yang tidak beragama Islam, direka oleh orang-orang tertentu dalam masyarakat maupun dicipta sendiri oleh seseorang individu.

M46. Dari Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan (agama) kami ini dengan perkara yang tidak ada dasar daripadanya, ia tertolak." (RS169; Bukhari, Muslim)

Dalam riwayat Muslim juga:

"Sesiapa yang beramal dengan amalan yang tidak berasal dari urusan (agama) kami, ia tertolak.”

M47. Dari Jabir r.a., katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. apabila berkhutbah, merah padam mata baginda, lantang suaranya, kelihatan sangat serius seolah-olah baginda memberi amaran kepada tentera dengan bersabda: “Bersiap sedialah kamu dari musuh yang menyerang pagi dan petang.” Baginda bersabda:

"Aku diutuskan ketika hari kiamat telah hampir seperti dua jari ini.” Baginda merapatkan jari telunjuk dan jari tengah. Kemudian menambah: "Kemudian dari itu, sesungguhnya sebaik-baik keterangan ialah Kitab Allah (Al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad s.a.w. Seburuk-buruk urusan (agama) ialah yang diada-adakan dan setiap bidaah itu sesat." (RS170; Muslim)

No comments:

Post a Comment