Saturday, 28 August 2010

Mutiara 19 : Menyuruh Makruf, Mencegah Mungkar

(Bab 23 : Menyuruh Makruf, Mencegah Mungkar, Hadits RS184-RS197)


Allah Taala berfirman:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Ali Imran, 3:104)

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar.” (Ali Imran, 3:110)

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar.” (At-Taubah, 9:71)

Ayat-ayat lain : Al-A’raaf, 7:199; Al-Maa-idah, 5:78-79; Al-Kahfi, 18:29; Al-Hijr, 15:94; Al-A’raaf, 7:165.


Orang-orang beriman mengambil berat makruf yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. dan kemungkaran yang ditegah. Mereka sedaya upaya melakukan kewajipan yang telah ditetapkan ke atas mereka dan sekuat hati cuba meninggalkan apa-apa yang terlarang. Perintah dan larangan Allah ini tidak terhad untuk diri mereka sahaja, tetapi juga keluarga, masyarakat, negara dan dunia umumnya.

Orang-orang yang beriman tentunya tidak akan senang hati selagi makruf tidak dilakukan dan kemungkaran berleluasa di luar sana. Mereka berusaha untuk membenteras kemungkaran dan menegakkan makruf, bersendirian maupun berkerjasama dengan orang lain.

M52. Dari Abu Said al-Khudri r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, ubahlah dengan tangannya; jika tidak mampu, ubahlah dengan lidah dan jika tidak mampu juga, ubahlah dengan hati. Ini adalah selemah-lemah iman. (RS184; Muslim)

M53. Dari Ibnu Mas'ud r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tiada seorang nabi yang diutuskan Allah sebelumku melainkan ia mempunyai pengikut-pengikut dan sahabat-sahabat setia yang mengikuti sunnah dan mentaati perintahnya. Kemudian timbul selepas mereka pengganti yang suka mengatakan apa yang mereka tidak lakukan dan melakukan apa yang tidak diperintahkan.

Sesiapa yang menentang mereka dengan tangannya, ia mukmin; sesiapa yang menentang mereka dengan lidahnya, ia mukmin dan sesiapa yang menentang mereka dengan hatinya, ia juga mukmin. Selain dari itu, tidak ada iman walau seberat biji sawi.” (RS185; Muslim)

M54. Dari An-Nu'man bin Basyir r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:

"Perumpamaan orang yang menegakkan hukum Allah dan orang yang menjerumuskan diri di dalamnya seperti satu kaum yang membahagikan tempat dalam sebuah kapal. Sebahagian berada di atas dan sebahagian lagi di bawah. Apabila orang-orang yang berada di bahagian bawah memerlukan air mereka naik ke atas, tentunya menyusahkan mereka. Mereka berkata: ‘Bagaimana kalau kita membuat lubang di bahagian bawah kita ini (untuk mendapatkan air), dengan itu tidak mengganggu orang yang berada di atas?’ Sekiranya orang-orang di atas membiarkan sahaja orang di bawah berbuat begitu, tentulah semua akan karam. Kalau mereka mencegah, semua terselamat.” (RS187; Bukhari)

M55. Dari Abu Said Al-Khudri r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:

"Jauhilah dari duduk-duduk di jalan-jalan." Para sahabat berkata: "Ya Rasulullah, kami tidak dapat meninggalkan tempat itu kerana mahu berbual-bual.” Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Jika kamu enggan meninggalkannya, berilah hak jalan.” Mereka bertanya: "Apakah hak jalan itu,ya Rasulullah?" Baginda bersabda: "Pejamkan mata, tidak mengganggu, menjawab salam, menyuruh makruf dan mencegah mungkar.” (RS190; Bukhari, Muslim)

M56. Dari Hudzaifah r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:

"Demi Dia yang jiwaku di tanganNya, hendaklah kamu menyuruh makruf dan mencegah kemungkaran . Kalau tidak, Allah akan menurunkan siksaan kepada kamu. Kemudian kamu berdoa kepadaNya tetapi tidak akan dikabulkan." (RS193; Tarmizi)

M57. Dari Abu Said al-Khudri r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:

"Seutama-utamanya jihad ialah kalimat menuntut keadilan di hadapan penguasa yang menyeleweng." (RS194; Abu Daud, Tarmizi)

No comments:

Post a Comment