Sunday, 5 September 2010

Mutiara 22 : Haram Berlaku Zalim

(Bab 26 : Haram Berlaku Zalim, Hadits RS203-RS221)


Allah Taala berfirman:

“Orang-orang yang zalim tidak mempunyai teman setia seorang pun dan tidak (pula) mempunyai seorang pemberi syafaat yang diterima syafaatnya.” (Al-Mu’min, 40:18)

“Dan bagi orang-orang yang zalim sekali-kali tidak ada seorang penolong pun.” (Al-Hajj, 22:71)


Islam menegah kezaliman, samada mengambil hak orang lain maupun menganiaya mereka. Allah dan RasulNya mengancam orang yang zalim dalam kehidupan mereka di dunia dan juga di akhirat kelak.

M60. Dari Abu Dzar bin Junadah r.a. dari Nabi s.a.w. dalam apa yang diriwayatkan dari Allah Taala bahawa Dia berfirman:

“Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman ke atas diriKu dan menjadikannya haram sesama kamu, maka janganlah saling menzalimi.” (RS111pt; Muslim)

M61. Dari Abdullah bin Amru bin Al-Ash r.a. dari Nabi s.a.w. bersabda:

“Muslim ialah orang yang semua orang Islam lain selamat dari (gangguan) lidah dan tangannya. Muhajir (orang berhijrah) ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang Allah ke atasnya.” (RS211; Bukhari, Muslim)

M62.  Dari Muaz r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Takutilah doa orang yang dizalimi kerana sesungguhnya tidak ada hijab di antara doa itu dengan Allah.” (RS208pt; Bukhari, Muslim)

M63. Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesiapa yang pernah menzalimi saudaranya di segi kehormatan diri atau sesuatu yang lain, hendaklah meminta halal pada hari ini sebelum datang hari yang tidak ada dinar atau pun dirham. Jika ia mempunyai amal soleh, diambil daripadanya dengan kadar kezaliman. Jika ia tidak mempunyai kebaikan, diambil kejahatan sahabatnya itu untuk ditanggungnya.” (RS210; Bukhari, Muslim)

M64. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tahukah kamu siapa yang muflis (bankrap)? Para sahabat menjawab: “Muflis ialah orang yang tidak mempunyai dirham atau sesuatu apa pun.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya orang muflis di kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa dan zakat. Ia juga datang dengan mencaci seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpahkan darah seseorang dan memukul seseorang. Pahala kebaikannya diberikan kepada setiap orang yang dizalimi. Apabila habis pahala kebaikannya sebelum selesai kezalimannya, dosa kejahatan orang yang dizalimi ditanggungkan kepadanya. Seterusnya ia dilemparkan ke dalam neraka.” (RS218; Muslim)

No comments:

Post a Comment