Tuesday 14 September 2010

Mutiara 25 : Keutamaan Orang Miskin dan Lemah

(Bab 32 : Keutamaan Orang Miskin dan Lemah, Hadits RS252-RS259)


Allah Taala berfirman:

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka.” (Al-Kahfi, 18:28)


Manusia biasa menilai manusia lain berdasarkan penampilan luaran. Orang-orang kaya dan bangsawan selalunya dipandang mulia manakala orang-orang miskin dipandang rendah. Perkara ini dapat dilihat dari satu hadits (RS253) bila seorang kaya dan seorang miskin berjalan di hadapan Rasulullah dan para sahabat. Rasulullah menyatakan bahawa orang miskin tersebut lebih baik dari yang kaya. Perkara yang hampir sama berlaku dalam kisah salah seorang dari tiga bayi yang boleh bercakap (RS259).

Kemuliaan seseorang di sisi Allah berdasarkan ketaqwaannya (Al-Hujuraat, 49:13), bukan fizikal. Seorang yang miskin, berpakaian compang camping lebih mulia di sisi Allah dari seorang yang kaya, berpakaian mewah, sekiranya orang miskin tersebut lebih bertakwa.

M76. Dari Haritsah bin Wahab r.a., beliau berkata : Saya dengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Mahukah kamu aku khabarkan berkenaan ahli syurga? Mereka adalah orang yang rendah dan dipandang rendah oleh manusia tetapi apabila mereka memohon kepada Allah tentu Allah mengabulkan. Mahukah kamu aku khabarkan berkenaan ahli neraka? Mereka adalah orang yang keras hati, kikir dan sombong.” (RS252; Bukhari, Muslim)

M77. Dari Usamah r.a. dari Nabi s.a.w., baginda bersabda:

“Saya berdiri di pintu syurga. Secara umum, yang memasukinya adalah orang-orang miskin sedangkan orang-orang kaya masih tertahan. Semua ahli neraka diperintahkan untuk memasuki neraka. Dan saya berdiri di pintu neraka. Tiba-tiba secara umum, yang memasukinya adalah orang-orang perempuan.” (RS258; Bukhari, Muslim)

No comments:

Post a Comment